Terpalit dengan gosip yang mengaitkan namanya dengan wanita bernama Mona Syamimi Mohd Samsudin atau lebih dikenali sebagai Mimi yang didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Shahir AF8 meletakkan penyanyi Syamel dalam keadaan yang sangat tidak selesa.

Mengakui mengenali wanita itu apabila pernah bertemu bersama rakan-rakan, Syamel bagaimanapun menolak dakwaan gosip sebegitu membantu menaikkan popularitinya.

“Sejujurnya apabila cerita sebegini keluar, ia bukanlah sesuatu yang sedap didengar. Apatah lagi apabila ia membabitkan rakan sendiri dan saya akui bersimpati dengan apa yang berlaku. Cuma saya tak pernah anggap yang saya memerlukan gosip sebegini untuk popular.

Kesal kerana turut dipalit gosip.

“Insya-Allah saya boleh berdiri sendiri menerusi karya yang saya hasilkan untuk terus bertahan dalam industri ini. Seperti kata ibu, apa yang berlaku ini anggap saja sebagai virus yang akan berlalu pergi begitu sahaja,”katanya kepada Rojak Daily Kaw! ketika ditemui selepas Konsert Final AF Megastar yang diadakan di Shah Alam Royal Theatre malam Ahad lalu.

Walaupun tidak bergelar juara, penyanyi comel ini tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi anugerah Ultimate Performer yang menawarkan hadiah baucer beli-belah bernilai RM3,000.

Berkawan dengan siapa sahaja.

Mengenali Syamel, dia memang seorang yang suka berkawan dan tidak pernah meletakkan sebarang kasta dalam memilih untuk bersahabat. Barangkali disebabkan sikap terbukanya itu, ramai yang cuba mengambil kesempatan.

Ketika diajukan persoalan itu kepada bekas naib juara Akademi Fantasia 2015 ini, Syamel mengakui hakikat itu.

“Mungkin ini juga kelemahan saya kerana terlampau percaya pada orang. Memang agak sukar untuk meneka apakah seseorang itu benar-benar ikhlas apabila mahu berkawan dengan kita. Apapun saya tak akan berjaga-jaga. Saya akan tetap berkawan macam biasa cuma akan ada batasan dari segi pergaulan,”tegas anak jati Kuala Lumpur ini.

Bakal mewakili Malaysia ke China.

Dalam perkembangan lain, pemilik nama Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini turut memberitahu yang dia bakal mewakili Malaysia pada acara ABU TV Song Festival 2017 yang akan berlangsung di Chengdu, China, 1 November depan.

Mengakui berdebar kerana julung kali menjayakan acara nyanyian peringkat antarabangsa, Syamel berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik beliau.

“Pada festival itu nanti, saya akan menyanyikan lagu yang menjadi single kedua saya, Lebih Sempurna. Mungkin saya perlu menyelitkan sedikit lirik dalam bahasa Cina sebagai kelainan, selain menjiwai lagu itu dengan sebaik mungkin.

“Jujurnya, saya juga sangat gementar kerana acara kali ini turut menyaksikan penampilan penyanyi hebat daripada kira-kira 13 negara lain, yang menjadi anggota Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU).

“Apapun, saya bersyukur kerana terpilih untuk mewakili negara. Sebelum ini, kebanyakan penyanyi Malaysia yang terpilih menyertainya adalah bakat daripada program realiti terbitan RTM,”katanya.

Mahu timba pengalaman.

Ditanya apakah beliau sudah bersedia untuk mencipta populariti pada peringkat lebih tinggi, dalam nada merendah diri, pemilik nama Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini memberitahu, perkara itu bergantung kepada cita rasa pendengar di sana.

“Tak tahu nak cakap macam mana. Ia terpulang pada pendengaran mereka. Kalau mereka suka, saya bersyukur. Bagi saya, apa paling penting, saya dapat menimba pengalaman baharu ketika berada di sana,” kata penyanyi berusia 24 tahun ini.

Selain Malaysia, festival bukan berbentuk pertandingan itu akan turut menyaksikan persembahan peserta daripada Afghanistan, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Maldives, Vietnam, Zambia, Kazakhstan dan Turkmenistan.