Berada dalam senarai BBNU atau ‘Budak-budak Baru Nak Up’ sememangnya membuka ruang kepada penyanyi muda, Tajul, berdepan kepada komen nakal netizen.
Andai selama ini adik kepada arwah Acik Spin itu lebih selesa berdiam diri, ditohmah sebagai playboy membuatkan Tajul ‘membahasakan’ satu pemilik akaun.
Katanya, gelaran itu sudah jatuh fitnah kerana ia membabitkan maruah selain pasti membabitkan air muka insan lain terutama keluarganya.
“Selama ini bukan tiada orang kata saya macam-macam, perasan handsome, mat rempit dan banyak lagi tapi saya masih boleh bersabar.
“Namun apabila merepek hingga mendakwa saya kaki perempuan, suka bertukar pasangan dan playboy rasanya itu sudah melampau.
“Apa perasaan ibu saya, adik beradik saya yang membaca komen sebegitu? Jadi saya terpaksa balas dan bagi amaran supaya jangan sewenang-wenangnya mahu fitnah orang.
“Kalau didiamkan individu seperti itu semakin berani. Selain block dan balas semula komennya, saya harap individu itu DM (mesej) saya terus jika ada yang tak puas hati,” katanya pada Rojak Daily Kaw!
Baru-baru ini, Tajul popular dengan lagu duet bersama Wany Hasrita berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu membalas komen negatif yang ditinggalkan di laman sosial melalui kata-kata di aplikasi Insta Stories.
"Rasa macam lama sangat tak layan haters ini. Sekali sekala bagi dia orang hadam pula. Bukan selalu! Dia bagi kita panas, aku bagi dia terbakar membuak-buak. Nak lawan pedas, mari.
“Biar muka tak berapa nak cerdik, tapi jangan tunjuk bangang yang melampau kat komen aku. Semak, pergi main jauh-jauh,” tulisnya yang menegaskan balasan kata-kata tajam itu sebagai pengajaran.
Dedahnya, dia perasan sejak tahun lalu ada tiga pengendali akaun yang ‘rajin’ membalas setiap entrinya di laman sosial dengan tujuan meninggalkan komen berbaur hinaan dan kritikan seakan ada perasaan tidak puas hati terhadapnya.
“Bukan saya mahu dipuji sebab ramai lagi netizen kritik tapi yang tiga akaun Instagram yang saya sebutkan tadi memang jarang terlepas setiap entri saya.
“Ada saja yang dibahankan. Saya perhatikan saja sejak tahun lepas. Komen mereka pun jenis yang langsung tiada kena mengena dengan status atau gambar yang saya kongsikan.
“Mungkin mereka ini orang sama yang bersembunyi di sebalik akaun palsu semata-mata mahu memuaskan diri. Orang sebegini memang ada masalah penyakit hati,” kata Tajul lagi.
Bagi Tajul, daripada melayan individu yang disifatkan dahagakan perhatian, tumpuannya kini terarah kepada filem pertamanya berjudul Enjin No 9 yang bermula 29 Mac ini selain pelancaran album mininya juga pada bulan depan.