LIFESTYLE
12 Lagu Patriotik Dulu Hingga Sekarang Yang Pasti Buat Anda Bangga Jadi Anak Malaysia
Malaysia, bumi bertuah. Mula mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, tanahair kita ini semakin lama semakin dikenali di mata dunia dari segala aspek kehidupan. Menyambut kemerdekaan yang ke-61 pada tahun ini, pastinya tahun 2018 merupakan tahun yang istimewa.
Bagi menyemarakkan lagi semangat dan rasa cinta anda pada negara, kami himpunkan 10 lagu patriotik bertemakan kenegaraan sepanjang masa yang mampu menaikkan lagi jati diri dan rasa bangga anda menjadi anak Malaysia.
12. Setia - Francissca Peter, Man Bai, Zainal Abidin, Hael Husaini, Syamel, Ara Johari, Nicole, Ernie Zakri (2018)
Lagu Setia, nyanyian asal Francissca Peter, dicipta oleh Datuk Ahmad Dasilah dan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, digubah semula oleh Dania Zainuddin, wartawan Astro AWANI yang berkelulusan muzik dari Berklee College of Music, Amerika Syarikat. Ia diberi nafas baru dengan gabungan penyanyi tersohor dan penyanyi berbakat negara.
"Demi negara yang tercinta,
Dicurahkan bakti penuh setia,
Demi raja yang disanjung tinggi,
Kesetiaan tak berbelah bagi."
11. Arena Cahaya - Zee Avi(2015)
Lagu ini merupakan lagu runut bunyi bagi filem Ola Bola. Zee Avi atau nama sebenarnya Izyan Alirahman menghasilkan sendiri lagu ini dan susunan muziknya bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi hanya dalam tempoh sebulan. Lagu ini ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa.
"Lift your dreams way up high,
Lift your goals to the sky,
Restui mimpi yang sejati,
Di arena cahaya."
10. #LUARBIASA -Cast Of OlaBola Musical feat Altimet (2017)
Lagu ini merupakan lagu tema bagi OlaBola The Musical yang hangat dipersembahnkan pada penghujung tahun 2017. Menampilkan pelakon-pelakon teater muzikal dan Altimet, #LUARBIASA dicipta oleh Mia Palencia dan liriknya oleh Altimet dan Chedd Yusoff.
"Jangan kau pandang rendah diriku,
Rintangan itu milik semua ,
Dan setiap manusia,
Mampu menjadi WIRA,
LUAR BIASA"
9. Malaysia Truly Asia - Datuk Khatijah Ibrahim (2002)
Lagu asal Malaysia Truly Asia dinyanyikan oleh Datuk Khatijah Ibrahim bersempena sambutan Citrawarna Malaysia. Lagu ciptaan komposer veteran Datuk Ahmad Nawab ini turut dirakamkan dalam 20 bahasa oleh 20 penyanyi dari seluruh dunia bagi mempromosikan industri pelancongan Malaysia.
"This land so beautiful,
It steals your heart away,
This land is paradise,
Only a smile away,
The soul of Asia,
The essence of Asia,
In this land where dreams come true, Malaysia."
8. Harapan Jadi Nyata - Aizat Amdan (2018)
Lagu Harapan Jadi Nyata adalah ciptaan Aizat Amdan sendiri dan liriknya hasil nukilan bapanya, Datuk Amdan Mat Din. Lagu ini ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir sempena ulangtahunnya yang ke-93 tahun ini.
"Hidup bermaruah,
Bangsanya megah berusaha,
Mencecah sejarah,
Menyentuh jutaan manusia,
Sememangnya akan ada halangan,
Harunginya agar harapan,
Jadi nyata."
7. Malaysiaku - Kidd Santhe, Zizi Kirana, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari & Lil J (2018)
Bakat-bakat Astro bergandingan untuk melahirkan sebuah lagu dan muzik video istimewa bertemakan Malaysia bertajuk 'Malaysiaku'. Lagu dendangan Kidd Santhe, Zizi Kirana, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari dan Lil J ini mendapat sentuhan DJ Biggie & Kidd Santhe of Monster Sound My serta lirik oleh Kidd Santhe, Kym Kmo, Syamel, Ara Johari, Ernie Zakri, Lil J.
"Ibu pertiwi yang ku sanjungi,
Laungan bangga di dalam hati,
Ayuh bersama kita berdiri,
Bersatu sambil kita menyanyi."
6. Gemuruh - Faizal Tahir (2007)
Dari bait-bait liriknya sahaja. boleh menyemarakkan semangat jati diri dan patriotik dalam setiap jiwa anak Malaysia. Lagu ini dimuatkan di dalam album sulung Faizal Tahir bertajuk Aku.Kamu.Muzik. Lagu ciptaan Aubrey Suwito ini begitu mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sehingga biarpun sudah berusia 10 tahun, ia masih mampu membangkitkan semangat dan jati diri negara setiap kali mendengarnya.
"Gemuruh jiwa semangat membara,
Dari puncak ingin ke angkasa,
Berkalungkan bintang berkelipan,
Menyerlah jauh dari yang biasa."
5. Gemuruh Suara - Team Malaysia (TM) (2011)
Lagu ini asalnya merupakan kolaborasi Telekom Malaysia (TM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mengiringi perjalanan para atlet Malaysia dan seluruh rakyat yang memberikan sokongan bersempena temasya Sukan SEA ke-26 yang berlangsung di Indonesia. Lagu ciptaan Norman, Yusry dan Edry dari kumpulan KRU ini turut mendapat sentuhan liriknya dari Ramli Sarip, Caprice dan Dato’ Shafri Mohamad. Kini lagu ini sering digunapakai untuk mana-mana acara sukan bagi menyemarakkan semangat para atlet Malaysia.
"Gemuruh suara,
Jadi bangsa Berjaya,
Gemuruh perkasa,
Bawah satu bendera,
Nama kita bina,
Diseluruh benua rasa bangga,
Genggam amanat wira,
Julang panji Malaysia."
4. Negaraku - Faizal Tahir, Joe Flizzow, Atlimet dan SonaOne (2016)
Pertama kali mendengarkan lagu ini di radio, terus jatuh suka. Hasil gabungan empat penyanyi terkenal Malaysia, Faizal Tahir, Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne ini telah dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun 2016. Lagu ini digubah oleh Ezra Kong, Mike Chan dan Faizal Tahir dari Faithful Music dan ditulis oleh gabungan empat penyanyi ini juga.
"Hatiku tetap hanya padamu,
Keranamu aku berdiri,
Tanpamu cita-cita hanya kekal sebagai mimpi,
Semuanya bermula dari sini,
Negaraku,
Negaraku,
Ku beri sepenuhnya,
Ku beri sepenuhnya,
Demi negaraku,
Oh darahku,
Hiduplah sepenuhnya,
Dirgahayu semua."
3. So Many Hands - Mia Palencia (2017)
Lagu ini merupakan diantara lagu tema Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 disamping Tunjuk Belang dan Bangkit Bersama. Dilancarkan oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc), lagu ini dinyanyikan penuh sempurna oleh Mia Palencia dan telah dilancarkan pada 13 Julai 2017. Lagu ini turut diguna pakai dalam iklan rasmi KL2017 bertajuk ‘It Takes a Nation to Raise a Champion' (Bersama, Kita Lahirkan Juara). Hasil ciptaan sepenuhnya Mia Palencia, lagu ini diterbitkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina.
"I want to be stronger,
I want to burn brighter than I ever be,
I want to be bravier,
I want to stand tough for all I believe,
And we'll rise together,
And there to be better than we ever dreamed,
So many hands,
So many hands,
Carry me"
2. Warisan - Sudirman (1982)
Allahyarham Sudirman antara penyanyi yang banyak mengeluarkan lagu-lagu patriotik antaranya Warisan dan Tanggal 31. Lagu ini sangat memberi inspirasi dan motivasi untuk kita terus mempertahan dan memperingati segala hasil usaha dan titik peluh perwira negara dalam mencapai kemerdekaan. Lagu ini ciptaan sepenuhnya Allahyarham Syed Haron dan lirik awalnya, 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' pernah diangkat menjadi tema bagi sambutan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-57 pada tahun 2014. Petikan video dari YouTube ini merupakan ketika Konsert Diraja pada tahun 1984, persembahan Allahyarham Sudirman diiringi oleh pemuzik Orkestra RTM.
"Aku,
Bukanlah seorang perwira,
Gagah menjunjung senjata,
Namun hati rela berjuang,
Walau dengan cara sendiri,
Demi cinta ini."
1. Standing in the Eye of the World - Ella (1998)
Lagu Standing in the Eye of the World ini merupakan lagu tema Sukan Komanwel 1998 dimana Malaysia menjadi tuan rumah ketika itu. Hasil ciptaan David Gates dan Wah Idris, lagu ini dinyanyikan oleh Ella dalam dua versi iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Cara penyampaian Ella dicampur paduan alunan muziknya serta emosi yang diterapkan dalam setiap lirik masih mampu meremangkan bulu roma setiap rakyat Malaysia setiap kali ia dimainkan. Tidak hanya boleh membangkitkan rasa cinta pada negara, lagu ini juga mampu membuatkan anda menitiskan air mata.
"Kini standing in the eyes of the world,
Hanyalah selangkah dari nyata,
Keazaman membara dijiwa,
Menanti saat bebas merdeka,
Tiba masa kau melangkah gagah,
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya,
Engkau terunggul,
Wajar standing in the eyes of the world."
Must-Watch Video