LIFESTYLE
Boleh Guna Wang Sumbangan Orang Ramai Atau Tidak?
Ada yang mengatakan angkara wang kita menjadi kelabu mata dan wang juga boleh memutuskan tali persaudaraan atau persahabatan. Sebolehnya, perkara sedemkian tidak berlaku pada masyarakat Islam yang bersikap terdesak menggunakan wang bukan haknya mengikut hukum syarak dan akhirnya menanggung dosa.
Perkara membabitkan penggunaan wang hak orang lain masih diambil remeh segelintir umat Islam yang beranggapan ia juga sebahagian daripada miliknya. Merujuk pada kes kemalangan membabitkan sepasang suami isteri dan anak bongsu mereka yang terkorban dalam satu nahas jalan raya pada tahun lalu, ia menarik perhatian khalayak apabila kakak arwah suami pasangan itu menyatakan timbul isu membabitkan pengurusan wang sumbangan orang ramai kepada dua anak pasangan itu yang masih hidup.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri tampil memberi penjelasan bapa atau ibu saudara hanya sebagai pemegang amanah di mana hak pengurusan wang berkenaan tertakluk pada keperluan manakala sumbangan atau sedekah kepada kedua anak yatim tersebut perlu diuruskan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
"Bukannya wang itu sepenuhnya menjadi hak milik pemegang amanah dan boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambahnya, pihaknya juga menerima laporan di media sosial mengenai luahan kekecewaan Yusnidah Hussain iaitu kakak kepada Allahyarham Fairuz Nizam (mangsa) yang menjelaskan dua anak saudaranya itu hanya mendapat RM12,000 berbanding sumbangan orang ramai terkumpul kira-kira RM300,000.
Malah, wang sumbangan RM300,000 itu dimasukkan ke dalam akaun adik-beradik Yusnidah. Wanita itu juga memaklumkan wang tersebut tidak sampai ke tangan kedua anak yatim ini untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian.
Dr Zulkifli juga menjawab dakwaaan adik-beradik Yusnidah merujuk kepadanya yang menyatakan duit diberi orang ramai adalah harta dan hak mereka kerana ianya adalah akaun atas nama mereka sendiri, bukan anak-anak ini.
"Sebenarnya, memang kami ada menziarah keluarga ini sebagai tanda simpati beberapa hari selepas tragedi berkenaan. Ada yang bertanyakan kepada kami tentang keharusan penggunaan wang sumbangan orang ramai untuk keperluan (maslahah) anak-anak yatim itu sendiri.
"Kami dengan tegas menyatakan bahawa bapa saudara atau ibu saudara hanya sebagai pemegang amanah (trustee/mutawalli) di mana hak pengurusan (tasarruf) wang berkenaan adalah tertakluk kepada keperluan (maslahah) dan sumbangan/sedekah kepada kedua anak yatim berkenaan, dan diuruskan dengan penuh kejujuran dan rasa tanggungjawab. Itulah yang kami maksudkan kepada pihak yang bertanya," katanya.
Must-Watch Video