Buat pertama kalinya Starbucks menjalinkan kolaborasi bersama pereka fesyen tempatan bagi menghasilkan tumbler dan mug edisi terhad Merdeka.

Jika sebelum ini Starbucks telah bekerjasama dengan Anna Sui, Vivienne Tam, Paul & Joe, namun kali ini tiba masanya untuk berganding bahu bersama pereka fesyen tempatan dan jenama yang berjaya memecah tembok berkenaan adalah Rico Rinaldi!

Berjaya menjadi yang pertama!
Menurut Rico, perbincangan untuk berkolaborasi sudah lama dan mengambil masa dua tahun untuk direalisasikan.

Jelasnya, terdapat beberapa elemen lain turut dibincangkan mengenai rekaan tumbler ini termasuk batik dan kebaya. Namun akhirnya mereka sepakat untuk mengeluarkan rekaan ‘nature’ yang menggambarkan Malaysia.

“Jika dilihat pada ketiga-tiga rekaan ini, tidak semua haiwan ditampilkan secara terang-terangan. Ia diinspirasikan daripada tiga haiwan terancam iaitu harimau, penyu, dan burung enggang yang mewakili unsur-unsur alam iaitu hutan, laut dan udara.

"Harimau malaya contohnya, saya sengaja menyorokkannya di celah-celah semak sebagai simbolik ancaman dan kepupusan haiwan terbabit. Begitu juga dengan penyu dan burung enggang ini,” katanya.

Punyai maksud tersirat.
Edisi khas Rico Rinaldi ini boleh didapati di semua cawangan Starbuck bermula 31 Ogos dengan harga RM150 (The Double Walled Mugs) dan RM168 (Thermos Tumblers).