NEWS
Plug-in: Pengguna Android Lebih Bertuah Apabila WhatsApp Business Diperkenalkan
Aplikasi WhatsApp yang memiliki pengguna lebih 1.3 bilion sangat popular dalam kalangan penduduk di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Merujuk jumlah pengguna aktif yang ramai, tidak hairanlah platform media sosial ini digunakan oleh kebanyakan usahawan atau peniaga kecil untuk berinteraksi atau menyalurkan maklumat mengenai produk mereka.
Menyedari potensi perniagaan kecil berkembang pantas dengan penggunaan aplikasi ini, WhatsApp yang dimiliki Facebook sejak tahun 2014, meluaskan sasaran penggunanya dengan melancarkan aplikasi terbaharu, WhatsApp Business yang memfokuskan kepada usahawan kecil.
Melalui sokongan aplikasi WhatsApp Business ini, komunikasi dengan pelanggan akan menjadi lebih efisien kerana ia turut menyokong fungsi pengesahan profil perniagaan, ruangan khas untuk menjawab soalan yang kerap ditanya (Q&A), ciri balasan mesej pantas, penghantaran teks mesej pemberitahuan secara automatik sekiranya waktu operasi perniagaan anda sudah tamat dan banyak lagi ciri menarik yang lain.
KELEBIHAN WHATSAPP BUSINESS
Buat masa ini WhatsApp Business hanya tersedia untuk peranti Android sahaja dan ia sudah boleh dimuat turun secara percuma untuk pengguna di negara ini termasuk beberapa buah negara terpilih iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Mexico, Itali dan Indonesia.
Difahamkan, negara-negara lain akan turut menerima aplikasi WhatsApp Business ini dalam masa terdekat ini. Setakat ini tiada sebarang maklumat yang dikongsikan berhubung ketersediaan aplikasi ini untuk platform iOS.
Ketua Pegawai Operasi WhatsApp, Matt Idema, berkata aplikasi berkenaan memfokuskan perniagaan yang menerima pesanan yang terlampau banyak dan memerlukan ia dikemas kini.
"Apa yang kami perhatikan ketika ini adalah perniagaan memerlukan lebih banyak alat yang efisien," katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, Idema yang merupakan seorang eksekutif Facebook sebelum menyertai WhatsApp pada tahun lalu, mengatakan aplikasi itu berhasrat untuk mengenakan bayaran kepada perniagaan dalam beberapa platform pada masa akan datang tetapi ia terlalu awal untuk dibincangkan.
Facebook membeli WhatsApp, pada tahun 2014 pada harga AS$19 bilion kerana tertarik dengan saiz pangkalan penggunanya.
WhatsApp sebelum ini mengenakan yuran langganan tahunan sebanyak AS$1 tetapi membatalkannya pada tahun 2016, sekali gus membiarkan syarikat itu beroperasi tanpa sumber pendapatan.
Bagi pengguna iPhone, WhatsApp turut tidak menolak untuk memperkenalkan aplikasi itu untuk peranti iOS pada masa akan datang.
Must-Watch Video