Memandang persaingan bola sepak peringkat kelab berehat pada minggu lalu, tumpuan peminat sukan nombor satu dunia beralih kepada dua situasi yang berlainan. Dalam saingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2018, sebanyak 23 pasukan sudah mengesahkan tempat di kejohanan yang bakal berlangsung di Russia itu nanti dan hanya tinggal sembilan tempat sahaja lagi.

Pasukan yang dibarisi dua pemain terbaik dunia iaitu Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo manakala Argentina dipimpin Lionel Messi hanya mengesahkan tempat mereka ketika perlawan terakhir kelayakan. Messi terutamanya mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol hatrik ketika kemenangan Argentina ke atas Ecuador dengan keputusan 3-1 di tempat lawan.

Perkembangan kedua pula adalah senarai awal anugerah Ballon d’Or 2017 yang dikeluarkan pada awal minggu ini. Anugerah tahunan yang diberikan kepada pemain bola sepak terbaik dunia itu diramal akan dimenangi sekali lagi sama ada Ronaldo atau Messi.

Sesiapapun di antara dua pemain tersebut yang bakal menang, bukanlah menjadi sesuatu yang mengejutkan kerana mereka berdua telah mendominasi anugerah tersebut sejak sedekad lamanya.

Semenjak tahun 2008, Ronaldo dan Messi bersilih berganti berada di tempat pertama dan kedua anugerah tersebut. Ronaldo sudah memenanginya sebanyak empat kali manakala Messi pula sebanyak lima kali. Merujuk pada penguasaan begitu lama antara dua seteru ini, ramai tertanya-tanya siapa yang boleh memecah dominasi Ronaldo dan Messi ini pada masa akan datang.

Ini turut menjadi persoalan atas faktor usia Ronaldo mencecah 32 tahun dan Messi memasuki 30 tahun.
Rojak Daily Skop! memaparkan tujuh pemain yang dijangka merampas kedudukan sebagai pemain bola sepak terbaik dunia tidak lama lagi. Adakah anda bersetuju dan siapa pula ramalan anda?

1. PEMAIN SEMAHAL PESAWAT BOEING 787 DREAMLINER

Neymar mencatat rekod bayaran perpindahan pemain tertinggi di dunia.


Pada musim panas lalu, dunia digemparkan dengan perpindahan pemain kelahiran Brazil, Neymar dari pasukan FC Barcelona di Sepanyol ke pasukan Paris Saint-Germain (PSG) di Perancis. Yuran perpindahan dibayar PSG untuk mendapatkan khidmat Neymar adalah 222 juta Euro (RM1,110.29 billion) yang merupakan rekod baru dunia.

Nilai tersebut mampu digunakan untuk membeli sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner! Sebagai perbandingan, rekod terdahulu adalah perpindahan Paul Pogba dari kelab Juventus ke Manchester United dengan nilai 105 juta Euro (RM525.16 juta) iaitu tidak sampai separuh nilai perpindahan Neymar.

Pemain berusia 25 tahun ini sudah membuat permulaan yang baik bersama kelab barunya setelah menjaringkan lapan gol dalam lapan kemunculan setakat ini. Kelincahan dan kehebatan individu ini sememangnya sudah diketahui umum dan ramai meramalkan Neymar bakal menjadi pemain pertama memecah dominasi Ronaldo dan Messi.

2. USIA SETAHUN JAGUNG BUKAN PENGHALANG

Kylian Mbappe mempamerkan kehebatannya sebagai pemain bola sepak pada usia muda.


Pemain termuda dalam senarai awal Ballon d’Or 2017 adalah pemain kelahiran Perancis, Kylian Mbappe. Pemain yang menjadi rakan sepasukan Neymar di PSG itu baru berusia 18 tahun! Di sebalik usia remajanya, pemain penyerang ini mencuri tumpuan ramai ketika membantu pasukan AS Monaco menjuarai Ligue 1 Perancis dan memasuki separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu.

Kini, setelah berhijrah ke pasukan baru yang dianggap lebih kuat itu, Mbappe dijangka akan terus menggegarkan dunia bola sepak antarabangsa. Agak menggerunkan apabila memikirkan potensi yang boleh dicapainya setelah menimba lebih banyak pengalaman. Pemain yang dikatakan mempunyai gaya permainan mirip lagenda Perancis, Thierry Henry ini sudah membuat lapan kemunculan bersama pasukan senior Perancis.

3. KEMUNCULAN HERO BOLA SEPAK INGGERIS

Harry Kane pernah menang anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut.


Antara faktor dominasi Ronaldo dan Messi untuk jangka masa panjang adalah konsistensi mereka dalam menjaringkankan gol yang banyak. Faktor ini jugalah bakal memberikan kelebihan buat pemain berdarah Inggeris, Harry Kane yang baru berusia 24 tahun.

Walaupun bermain dengan kelab yang tidak begitu ternama iaitu Tottenham Hotspur, dia sudah memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut. Malah, statistik jaringannya buat Tottenham pada tahun ini juga agak memukaukan iaitu 34 gol daripada 30 kemunculan dengan sejumlah enam hatrik.

Pada tahun ini juga, Kane sudah menjaringkan tujuh gol daripada enam kemunculan bersama pasukan England. Hanya satu perkara yang menyukarkannya untuk memenangi Ballon d’Or iaitu kekurangan kejuaraan dan piala bersama Tottenham. Adakah Kane perlu berpindah ke pasukan lebih kuat untuk menaikkan potensi dirinya?

4. PERMATA BARU LIGA BOLA SEPAK ITALI

Pemain berusia 23 tahun dari Argentina ini berbakat dalam banyak posisi ketika di atas padang.


Pada musim lalu, kemaraan Messi dan pasukan FC Barcelona dalam pertandingan Liga Juara-Juara Eropah tersekat di peringkat suku akhir. Mereka disingkirkan oleh kelab dari Itali, Juventus yang dibarisi seorang pemain muda yang sedang menyinar iaitu Paulo Dybala.

Para peminat memberi nama jolokan 'La Joya' bermaksud 'permata' dalam bahasa Sepanyol kepada pemain kelahiran Argentina yang baru berusia 23 tahun itu. Ini kerana gaya permainannya yang penuh dengan kelincahan, kemahiran individu yang tinggi dan kepakarannya menjaringkan gol.

Dybala mampu bermain sebagai penyerang utama atau sokongan, pemain tengah menyerang, posisi sayap dan juga sebagai seorang 'playmaker'. Selain daripada itu, dia juga berkemahiran menjaringkan gol daripada sepakan percuma dan turut tenang ketika mengambil sepakan penalti.

5. KESETIAAN YANG BAKAL TERUJI

Pemain berdarah Perancis yang bermain untuk kelab Sepanyol, Atletico Madrid ini pernah mencuri tumpuan ketika Euro 2016.


Anugerah Ballon d’Or 2016 hampir menyaksikan seorang pemain baru memecah dominasi sedia ada tetapi akhirnya Antoine Griezmann terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tempat ketiga sahaja di belakang Ronaldo dan Messi.

Pemain berdarah Perancis yang bermain untuk kelab Sepanyol, Atletico Madrid itu mencuri tumpuan di Euro 2016 apabila membantu negara kelahirannya memasuki perlawanan akhir di samping memenangi anugerah Kasut Emas dan Pemain Terbaik kejohanan.

Seorang pemain yang rajin, pintar dan mempunyai teknik yang tinggi, Griezmann pada musim panas lalu hampir sahaja berhijrah ke pasukan Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester United. Namun, dia berubah fikiran pada saat akhir kerana pasukan Atletico digantung sementara daripada melakukan pembelian pemain dan Griezmann mahu menunjukkan kesetiaannya pada waktu yang sukar begini.

Bagaimanapun, ramai meramalkan kesetiaannya bakal teruji apabila penggantungan pembelian pemain itu berakhir nanti. Adakah Manchester United bakal menjadi destinasi seterusnya buat Griezmann?

6. BANGKIT SEMULA SESUDAH JATUH

Kevin De Bruyne bangkit semula dengan persembahan memberangsangkan pada musim 2014 - 2015.


Pada tahun 2014, pemain kelahiran Belgium, Kevin De Bruyne dianggap oleh pasukan Liga Perdana Inggeris, tidak cukup baik untuk bermain dengan pasukan itu. Dia kemudiannya dijual kepada pasukan Jerman, VfL Wolfsburg dengan nilai perpindahan 18 juta Pound (RM 100 juta).

Bermain di Bundesliga Jerman, De Bruyne bangkit semula dengan persembahan memberangsangkan dan pada musim 2014 - 2015. Dia dinobatkan sebagai pemain terbaik Bundesliga disamping mencipta rekod baru untuk jumlah ‘goal assists’.

De Bruyne kemudiannya kembali ke Liga Perdana Inggeris setelah pasukan Manchester City membelinya dengan nilai perpindahan 55 juta pound (RM305.86 juta). Dengan tahap konsistensi yang tinggi, kemahiran membuat hantaran yang tepat, teknik yang jitu dan kreativiti yang mantap, De Bruyne kini adalah antara pemain yang paling digeruni dalam dunia bola sepak.

7. BINTANG YANG BERSINAR TERANG

Isco kini menjadi tonggak penting kepada pasukan Real Madrid.


Pasukan La Liga Spenayol, Real Madrid sememangnya terkenal dengan barisan pemain yang penuh dengan bintang. Sebaliknya, tidak ramai menyangka perpindahan Isco dari kelab Malaga pada tahun 2013 bakal memberikan kesan yang besar.

Daripada sebuah nama yang kurang dikenali, Isco sekarang merupakan tonggak penting buat pasukan yang dibimbing Zinedine Zidane itu. Malah, kemahiran individu dan kebolehan bermain di banyak posisi menyaksikan Isco mendahului bintang Madrid yang lain seperti Gareth Bale.

Pada usia yang masih agak muda iaitu 25 tahun, adakah Isco bakal menggantikan tempat rakan sepasukan iaitu Ronaldo sebagai pemain terbaik dunia? tidak ramai akan terkejut sekiranya perkara itu boleh terjadi!