Tidak dinafikan kejadian bah besar yang melanda Pulau Pinang mengakibatkan pelbagai harta benda termasuk pakaian, barangan elektrik, perabot termasuk kenderaan mangsa banjir mengalami kerosakan teruk.

Lebih memilukan lagi ada di antara mereka terpaksa ditempatkan di Pusat Penempatan Banjir buat sementara waktu tidak kira dari golongan kanak-kanak sehingga warga emas. Nasib malang yang menimpa mereka sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Apa yang menyedihkan, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) antara yang dilaporkan diabaikan dan terdapat mangsa banjir yang lain tidak tinggal di pusat bantuan tersebut sehingga tidak layak untuk menerima bantuan.

Nasib yang menimpa mereka pastinya mendapat perhatian pelbagai pihak tidak kira pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, kelab untuk tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Rojak Daily Skop! turut berkesempatan menyertai misi bantuan banjir bersama kumpulan motosikal berkuasa tinggi dari Penang State Bikers Community (PSBC) baru-baru ini melihat sendiri situasi sebenar yang dilalui mangsa banjir.


BANTUAN MEMANG BANYAK

Berapa wakil PSBC menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada wakil penduduk Padang Suria, Kampung Melayu Air Itam, Pulau Pinang yang dilanda banjir kilat.


Pelbagai bantuan berupa keperluan asas seperti peralatan mandi, makanan segera dan makanan termasuk tilam, selimut termasuk wang tunai amat diperlukan mangsa banjir.

Tapi sayangnya, di sebalik keprihatinan ramai pihak yang menghulurkan sumbangan ada segelintir mangsa mengeluh tidak menerima bantuan sehingga mendakwa ada unsur pilih kasih termasuk kroni dan bermacam-macam lagi.

Bukan itu saja, keluhan mereka juga turut membongkar sikap mementingkan diri setengah pihak yang cuba mengambil kesempatan di sebalik bantuan yang diberikan.

Ini bukan kecaman tetapi sekadar teguran untuk kita semua menanggani masalah berkenaan dengan adil dan saksama agar tiada mangsa yang tercicir dan terabai.

Jangan terkejut apabila ada mangsa banjir yang cuba mengambil kesempatan di sebalik kebaikan yang diberikan dengan menghubungi sukarelawan menerusi telefon bimbit menempah makanan sehingga mencecah ratusan bungkus.


CARA AGIHAN BANTUAN DIBUAT

Dua wakil PSBC sedang menurunkan barangan bantuan banjir.


Konvoi bantuan Penang State Bikers Community (PSBC) seramai 10 ahli memasuki kawasan di Kampung Terus, Bukit Mertajam di mana kawasan ini antara kawasan yang paling teruk akibat banjir.

Bantuan yang disalurkan dibawa menerusi lori dan kenderaan pacuan empst roda yang membawa pelbagai barang keperluan seperti peralatan mandian, makanan segera dan keperluan dapur termasuk pampers kanak-kanak, tuala wanita dan lampin pakai buang dewasa serta tilam, beras, air mineral yang disumbangkan Kelab Rotary Malaysia.

Lawatan sekitar kawasan terjejas itu dilakukan merangkumi rumah mangsa yang didiami warga emas dan OKU. Menerusi pemantauan sendiri anggota konvoi menyaksikan rumah mangsa banjir ini dipenuhi selut dan masih lagi berlumpur meskipun mereka masih tinggal di situ menyebabkan mereka tidak berada di Pusat Penempatan Banjir dan akhirnya bantuan tidak diterima.

Keadaan kawasan kediaman salah seorang mangsa banjir yang dipenuhi perabot rosak.

Ketika mengagihan bantuan, anggota konvoi juga melihat pelbagai barangan rumah mangsa banjir yang mengalami rosak teruk terpaksa diletakkan di tepi jalan.

Bagi memudahkan proses agihan barangan bantuan, satu jawatankuasa penduduk ditempatkan di tepi jalan masuk ke dalam kampung dengan meletakkan satu meja. Agihan barangan keperluan ini dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum diberikan secara berperingkat sambil dibantu penduduk kampung dan mangsa banjir sendiri.