Gaya tujuh jejaka segak berpakaian baju kotak, ada yang mengenakan kot sambil berkaca mata hitam, ada pula memakai jaket dan tali leher ketika terik mentari menarik perhatian khalayak. Lebih mencuri tumpuan adalah koleksi motosikal 'vintage' bersama mereka.

Apa kena dengan mereka? Mengapa perlu memakai sebegitu ketika cuaca panas dan apa pula kaitan golongan belia ini dengan motosikal klasik atau diketegori 'vintage' yang lazimnya diminati golongan warga emas.

Meskipun mereka bukanlah artis popular tetapi golongan belia yang terbabit sama dalam acara ini sebenarnya mempunyai niat yang tulus dan ikhlas untuk membantu orang lain.

Menerusi program Distinguished Gentleman Ride 2017 (DGR17), peserta-peserta ini bersama mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser prostat.


TAYANG MOTOSIKAL KLASIK

Seramai 500 peserta berkonvoi untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser prostat.

Acara ini berjaya menghimpunkan lebih 500 penunggang motosikal klasik dan berkuasa tinggi seawal jam 8 pagi apabila kesemua peserta mula berkumpul Pusat Jualan Triumph, Gelugor, Georgetown Pulau Pinang.

Pelbagai gaya dapat dilihat apabila pelbagai lapisan umur peserta termasuk kanak-kanak berusia 8 tahun turut serta sambil memperagakan pelbagai jenis motosikal termasuk Triumph, Harley Davidson, Vespa, Scoomoney, Honda, KTM, Kawasaki dan Lambretta.

Tidak ketinggalan peserta warga emas turut mengambil bahagian dalam program yang diadakan buat tahun kedua dan apa yang membanggakan, sambutan yang diberikan dalam kalangan peserta cukup luas biasa.

Perjalanan sejauh lebih 40 kilometer bermula dari Gelugor melalui beberapa laluan termasuk Weld Quay, Padang Kota Lama, Persiaran Gurney, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi sebelum berakhir di Hotel Hard Rock Pulau Pinang.


SETAHUN SEKALI

Golongan belia menunggang motosikal Vespa antara tarikan peserta program Distinguished Gentleman Ride 2017 (DGR17).

Bagi Mohd Adib Mohd Yusop, 30, pengalaman menyertai konvoi amal ini adalah suatu peluang yang tidak mungkin dilepaskan kerana ia hanya diadakan setahun sekali.

"Selain beramah mesra dengan rakan-rakan termasuk berkenalan dengan rakan baru sesuatu yang baik adalah semua kaum bersatu dalam satu acara," katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Begitu juga, peserta paling 'otai' iaitu Selamat Mat Aris, 71 menyatakan pengalaman berkonvoi motosikal klasik menjadi aktiviti yang sudah lama disertainya sejak di awal usia 21 tahun apatah lagi sehingga program ini diadakan yang berkonsep menunggang sambil beramal.

"Saya seronok bersama anak-anak muda yang mulai meminati konvoi motosikal selain berkenalan dan beramah mesra dapat juga bertukar-tukar pendapat.

"Saya cukup kagum dengan semangat yang ditunjukkan anak-anak muda bukan sahaja jejaka yang segak bergaya tetapi turut disertai wanita yang tidak mahu melepaskan peluang bergaya ," katanya.

Penyertaan golongan muda dalam acara sebegini mampu memberi galakan pada belia lain untuk turut serta dalam acara sama pada masa akan datang.

Program Distinguished Gentleman Ride itu mendapat kerjasama Rider Garage, Triumph Malaysia, Penang Marshall Comunity, Hotel Hard Rock Pulau Pinang, Rotten Motor, Khalis Nasi Dalca dan Rock Oil.


BUANG PERSEPSI

Golongan muda dan veteran bersama menjayakan program Distinguished Gentleman Ride 2017 (DGR17) yang diadakan di di Pusat Jualan Triumph, Gelugor, Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini.


Sementara itu, Pengasas Rider Garage, Jeremy Leong berkata, pada tahun ini merupakan tahun kedua acara tersebut diadakan di negeri ini dan sambutan yang diterima cukup memberangsangkan.

Tambahnya, tujuan utama acara ini adalah mengumpul dana bagi pesakit kanser prostat dan mereka berjaya mengumpul sebanyak RM5,034 hasil pendaftaran peserta program amal pada tahun ini.

"Kita berjaya mengumpul peminat motosikal klasik dan berkuasa tinggi dari Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sendiri selaku tuan rumah.

"Matlamat kita adalah untuk membuang persepsi masyarakat terhadap gejala sosial seperti mat rempit dan gangsterisme yang sering dipandang serong.

"Adanya pertambahan peminat motosikal akan menarik lebih ramai lagi penyertaan dari anak-anak muda pada tahun-tahun akan datang," katanya.