Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dilancarkan pada Julai 2012 bertujuan meringankan beban lebih 1.5 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara ketika itu.

KADS1M antara lain menawarkan potongan harga antara lima sehingga 60 peratus bagi pelbagai jenis barangan merangkumi buku dan alat tulis, makanan dan minuman, produk kesihatan, penginapan, teknologi maklumat dan alat sukan kepada mahasiswa.

Pada 21 Februari lalu, kerajaan mengambil inisiatif memaksimumkan penggunaan KADS1M dengan mendebitkan juga bantuan Baucar Buku 1Malaysia ke dalamnya. Ia kini dikenali sebagai KADS1M Debit-i.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha tersebut antara lain adalah mengekang penyalahgunaan baucar buku bernilai RM250 dalam kalangan peniaga dan pelajar.


MANFAAT UNTUK 1.3 JUTA MAHASISWA

Jelas Idris, Bank Rakyat telah diberikan amanah untuk mengeluarkan KADS1M Debit-i pada tahun ini kepada pelajar yang memohon untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Tambahnya, melalui kad berkenaan pelajar bukan sahaja boleh membeli buku pelajaran, malah boleh mendapatkan beberapa barangan lain seperti perisian komputer dan peralatan pembelajaran.

Justeru, pada tahun ini kementerian turut menghapuskan yuran tahunan sebanyak RM5 kepada pelajar yang masih menggunakan perkhidmatan KADS1M.

“Pelaksanaan program ini akan memberi manfaat kepada 1.3 juta mahasiswa yang melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa dan separa masa di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang berstatus aktif pada 31 Di­sember 2016,” katanya.


MAHASISWA DAH KAYA TAK PERLU KADS1M?

Bank Rakyat dalam satu kenyataan hari ini menyatakan seramai 814,788 mahasiswa telah dimaklumkan melalui emel untuk mengambil kad tersebut di cawangan yang dipilih semasa permohonan dilakukan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 499,933 penerima Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) melalui KADS1M Debit-i masih belum menuntut kad tersebut di cawangan Bank Rakyat.

Bagaimanapun, apa yang menghairankan apabila Bank Rakyat memberitahu sehingga 18 Julai lalu hanya 314,855 KADS1M Debit-i dituntut mahasiswa di seluruh negara.

Sekali gus menimbulkan banyak tanda tanya. Seolah-olah mereka tidak memerlukannya. Adakah kerana mahasiswa kini sudah kaya? Adakah kerana dek ketaksuban politik atau kekurangan maklumat mengenainya?

Ironinya, berdasarkan rekod menerusi ‘online enquiry system’, sebanyak 9.87 juta semakan dibuat oleh mahasiswa menyemak status permohonan dan pengambilan kad tersebut.


NASIHAT BANK RAKYAT

Sehubungan itu, Bank Rakyat dalam kenyataan sama hari ini menasihati mahasiswa terlibat supaya pelajar mengambil KADS1M Debit-i sebelum 30 September 2017.

Malah, bagi memudahkan pelajar mengambil KADS1M Debit-i tersebut, Bank Rakyat melanjutkan waktu operasinya sehingga pukul 8:30 malam pada Isnin sehingga Jumaat di semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu.

"Di Kelantan dan Terengganu pula, pelajar boleh berurusan pada hari Ahad sehingga Khamis. Bagi menyemak status permohonan, sila layari https://bppt.bankrakyat.com.my/semakan/ dan kunjungi cawangan yang dipilih untuk mengambil KADS1M Debit-i dengan membawa kad pengenalan dan kad pelajar beserta salinan," katanya.