Aplikasi navigasi pada zaman sekarang menjadi satu keperluan buat semua individu. Jika tiada aplikasi ini kadar keberangkalian untuk sesat amat tinggi terutamanya dengan jalan baru yang dibina atau telah bertukar laluan sehala dan sebagainya.

Satu daripada aplikasi yang popular dalam kalangan pengguna kini adalah Waze. Di Kuala Lumpur saja terdapat 2.5 juta pengguna aktif yang menyumbang kepada 1.2 juta perkongsian informasi.

Kebanyakan daripada mereka adalah pengguna kenderaan seperti kereta dan lori. Motosikal berkecuali kerana mungkin agak bahaya untuk menggunakan aplikasi ini ketika menunggang.

Bagaimanapun, masalah buat penunggang motosikal itu nampaknya selesai apabila Waze hari ini melancarkan mod pemanduan motosikal dalam fungsi terbaru mereka.


LALUAN KHAS MOTOR

Anda kini boleh memilih jenis kenderaan yang digunakan.
Fungsi ini digelar sebagai 'motorcycle helmet-rocking Waze moods'. Apa yang menarik mengenai fungsi terbaru ini, ia menyediakan laluan yang lebih sesuai untuk digunakan penunggang motosikal!

Ini bermakna laluan seperti lorong atau jalan yang kecil yang tidak boleh dilalui oleh kereta kini tersedia dalam navigasi Waze.

Selain itu Waze turut menyediakan masa ketibaan khusus untuk mereka. Seperti biasa maklumat tempoh perjalanan akan diambil menerusi setiap penunggang yang menggunakan Waze.

Maklumat yang dikumpul untuk meramal tempoh perjalanan, sekali gus menjadikan masa untuk tiba ke destinasi lebih cepat dan mudah.

Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan Waze masih tidak memaklumkan negara mana yang bakal menikmati fungsi ini. Namun, menerusi Facebook, Waze Malaysia turut mengumumkan fungsi baru terbabit.



Anda boleh cuba mengemas kini versi terbaru waze ini dan jika tersedia, ia pastinya menjadi pilihan terbaik.

Bagi menggunakan fungsi ini anda hanya perlu membuka aplikasi Waze dan pilih Settings>Vehicle Type>Motorcycles.