SKOP
Buat Umrah Sempena Cuti Sekolah, 10 Perkara Penting Anda Patut Tahu
Nak ke mana cuti sekolah kali ini? mungkin ada yang balik kampung atau mengambil kesempatan melancong bersama keluarga atau rakan-rakan.
Selain destinasi percutian dalam negara, Makkah dan Madinah menerusi pakej umrah antara menjadi pilihan umat Islam yang berkemampuan untuk pergi ke sana.
Berbeza dengan situasi pada zaman sekarang, mengerjakan umrah bukan lagi 'percutian' mahal kerana ada bermacam pakej yang ditawarkan pada harga rendah antara RM5,000 sehingga RM12,000.
Bagaimanapun, bagi mereka yang pernah menjejak kaki ke Tanah Suci itu tidak menjadi masalah kerana sudah ada pengalaman ke sana. Namun, untuk mereka yang pertama kali ke sana pasti berasa bimbang tentang apa yang bakal ditempuhi sepanjang hampir dua minggu melakukan ibadah umrah.
Berikut 10 perkara penting yang patut jemaah tahu sebelum pergi ke sana:
1. TIDAK PERLU BELI JUBAH BARU
Sudah menjadi kebiasaan ramai jemaah akan membeli jubah di sini sebelum ke Tanah Suci sebagai persiapan awal. Apa yang menyedihkan, harganya kadangkala mencecah ratusan ringgit sehelai. Sebagai cadangan, jangan beli dulu dan tunggu sehingga tiba di sana.
Cuba teka berapa harga sehelai jubah di sana? dengan kualiti hampir sama jubah di Malaysia, anda boleh membelinya pada harga serendah RM20. Apa yang penting kena banyak bersabar mencari kedai yang menjual pada harga berpatutan di sana.
2. BELI KASUT PUN TAK PAYAH

Tidak perlu membeli atau membawa kasut ke Tanah Suci kerana kebanyakan aktiviti di sana hanya menggunakan selipar. Jangan hairan apabila melihat kebanyakan jemaah lebih selesa berkaki ayam semasa melakukan tawaf dan saie.
Sebagai peringatan, jemaah dilarang memakai kasut atau selipar yang menutup jari kaki semasa berada dalam ihram.
3. NAK BELI KE TAK KANTUNG KASUT?
Setiap kali memasuki kawasan seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, kita disarankan untuk membawa selipar bersama untuk mengelakkan selipar hilang. Jika membeli barang persiapan ke Tanah Suci, pastinya peniaga di sini menyarankan kita membeli kantung kasut yang harganya boleh mencecah puluhan ringgit.
Sebagai cadangan untuk menjimatkan kos, gunakan sahaja beg plastik! Lagipun di beberapa pintu masuk Masjidil Haram disediakan beg plastik untuk jemaah menyimpan selipar untuk dibawa masuk ke dalam.
4. ELAKKAN GUNA PERANTAUAN ANTARABANGSA
Sewaktu berada di sana, jemaah juga tidak terkecuali mahu menghubungi keluarga di tanah air untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu. Jemaah disarankan agar tidak menggunakan perkhidmatan perantauan antarabangsa daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia kerana caj yang dikenakan sangat mahal sehingga mencecah RM9 seminit!
Sebagai langkah penjimatan, beli kad sim di sana. Bagi lebih berjimat, beli kad sim yang hanya menyediakan data Internet yang dijual sekitar RM50 sekeping untuk data 3GB yang boleh digunakan untuk tempoh sebulan.
Anda boleh kekal berhubung dengan keluarga di Malaysia menerusi mesej atau membuat panggilan menggunakan aplikasi WhatsApp pada kos yang sangat rendah.
5. LEBIH BAIK BAWA SABUN BASUH
Caj perkhidmatan mencuci pakaian di dobi sana sangat mahal. Sehelai pakaian untuk dicuci boleh mencecah harga RM25. Cadangan terbaik adalah anda membasuh sendiri dalam bilik hotel dan kemudian sidai di sudut cahaya matahari dalam bilik hotel.
Jika cuaca panas, dalam beberapa jam pakaian sudah kering dan boleh dipakai semula.
6. ROKOK SEBATANG BANG!
Larangan merokok memang dikuat kuasa di Tanah Suci. Namun, jangan terperanjat jika anda melihat ramai yang masih merokok di sana. Mereka bagaimanapun merokok di tempat yang kurang terbuka.
Anda akan dimarahi penguat kuasa Arab Saudi jika dilihat merokok. Untuk pengetahuan, rokok dijual secara tidak sah di beberapa kedai-kedai runcit di Tanah Suci tetapi harganya melambung hampir sekali ganda berbanding di Malaysia.
Kaedah untuk berjimat adalah membeli rokok di zon bebas cukai di lapangan terbang. Jika mahu kaedah yang lebih terbaik untuk berjimat adalah langsung tidak merokok di Tanah Suci! Jadikan ibadah umrah sebagai langkah permulaan untuk menghentikan tabiat merokok.
7. JANGAN MUDAH TERPEDAYA

Apabila anda masuk ke sebuah kedai jangan mudah terpesona dengan kemesraan peniaganya. Jangan hairan dengan kemampuan mereka boleh bertutur Bahasa Malaysia. Ambil sikap tidak terlalu mesra dan lebih baik membuat tinjauan ke beberapa kedai terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli.
Jika anda rasa produk dalam kedai itu kurang menarik, terus beredar tanpa tawar menawar. Jika tidak anda berkemungkinan mengalami kesulitan meninggalkan premis itu kerana mereka akan berusaha sedaya upaya memujuk anda membeli sesuatu termasuk memegang tangan anda! Perbuatan sebegitu agak menjengkelkan jika di Malaysia tetapi dianggap normal oleh peniaga di sana.
Pengalaman seorang jemaah mahu membeli pakaian berharga hampir RM90. Dia meminta peniaga premis itu kurangkan harga. Selepas tawar menawar, peniaga itu kurangkan kepada RM50 tetapi jemaah itu tidak jadi membelinya dan bergerak meninggalkan premis itu.
Peniaga itu dengan pantas memegang tangan jemaah itu sambil menyatakan "Halal, Halal 35 riyal (RM38)". Bayangkan harga asal dari RM90 dikurangkan kepada RM38. Persoalannya berapakah nilai sebenar pakaian tersebut?
8. `MADE IN CHINA'
Apabila melihat sesuatu barang yang mahu dibeli, sebaiknya memeriksa produk itu buatan negara mana. Banyak juga produk yang dijual di kedai-kedai di Tanah Suci dibuat di China. Lebih mengelikan hati jika anda terbeli produk `Made In Malaysia' untuk dibawa pulang ke negara sendiri.
Tak salah membeli produk buatan China atau Malaysia tetapi apa paling penting perlu diutamakan adalah kualiti produk itu lagipun dah sampai Tanah Suci takkan nak beli barang buatan China atau Malaysia. Carilah barang cop negara Arab baru ada kelas!
9. BOLEH KE PAKAI SELUAR JEANS?
