Skop
Gesa Kerajaan Lebih Serius Kaji Gaji Anggota Polis Elak Rasuah
Semalam menjadi satu lagi sejarah kepada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara selepas berkhidmat selama empat dekad.
Pelantikan bekas Pengarah Cawangan Khas itu yang berkuatkuasa semalam memberi cabaran pada beliau untuk menerajui PDRM agar ia terus dipandang berintegriti dalam kalangan orang awam.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini turut memberi keyakinan terhadap Mohamad Fuzi dipercayai mampu membawa perubahan dan pembaharuan ke arah menjadikan PDRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang lebih cemerlang dan terulung di negara ini dan pada masa sama memastikan anggotanya bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.
"SPRM juga percaya beliau akan memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan bebas, berani dan berintegriti. Dengan perlantikan ini, SPRM turut yakin ia dapat memperkasakan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak yang telah sedia terjalin dalam usaha membanteras jenayah di negara ini," katanya.
Bagaimanapun, di sebalik pucuk pimpinan baru PDRM bersama Mohamad Fuzi, SPRM juga menarik perhatian khalayak apabila menggesa pihak kerajaan secara serius melihat dan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota dan pegawai agensi-agensi penguatkuasa di negara ini khususnya PDRM.
"Ini sebagai salah satu langkah penting bagi mengelakkan anggota dan pegawai agensi-agensi penguatkuasa terjerumus ke dalam kancah rasuah dan salah guna kuasa," katanya.
PUNCA RASUAH DALAM KALANGAN ANGGOTA POLIS
Gejala rasuah dan salah guna kuasa didakwa berlaku akibat gaji rendah membabitkan anggota polis pernah dinyatakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum ini.
Ketua Aktivis badan bukan kerajaan itu, Datuk Nadzim Johan menyatakan faktor gaji rendah menyebabkan individu itu menipu atau mencari duit sampingan. Sebagai contoh, gaji sebanyak RM2,000 jika menetap di Kuala Lumpur memberikan cabaran besar apatah lagi RM4,000 dianggap berada di bawah paras kemiskinan.
Tambahnya seperti dilaporkan ProjekMMO sebelum ini, penjawat awam yang terbabit dalam pelbagai masalah kewangan berpotensi menjadi dalang kegiatan jenayah dalam negara.
BERAPA GAJI SEBENAR?
Menurut laman sesawang, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menyatakan gaji anggota polis sebagai Inspektor bermula dari RM2,329. Bagaimanapun, anggota dalam gred ini turut mendapat kenaikan gaji sebanyak RM230 secara tahunan.
Dua jawatan lain bukan pegawai iaitu konstabel dan sarjan mendapat gaji minumum di bawah RM2,000.
Berikut beberapa tangga gaji anggota polis:
1. Jawatan: Inspektor (lelaki/wanita) Gred YA 13
Gaji miniumum: RM2,329
Gaji maksimum: RM8,883
Kadar kenaikan gaji tahunan: RM230
2. Jawatan: Sarjan (lelaki/wanita) Gred YA 5
Gaji miniumum: RM1,711
Gaji maksimum: RM5,199
Kadar kenaikan gaji tahunan: RM150
3. Jawatan: Konstabel (lelaki/wanita) Gred YA 1
Gaji miniumum: RM1,014
Gaji maksimum: RM3,517
Kadar kenaikan gaji tahunan: RM100
Must-Watch Video