Skip to main content

Market Trends

Guna Kepakaran Standard Sukan Olimpik, Astro Arena Catat Rekod Siaran Langsung 16 Jam Sehari

arena.jpg
Memberikan siaran terbaik kepada penonton sepanjang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, buat pertama kali Astro Arena bersiaran selama 16 jam secara langsung dari 8 pagi sehingga 12 tengah malam berbanding 10 sehingga 12 jam sebelum ini. Lebih menarik, lintas langsung ini dibuat dari enam sehingga tujuh lokasi pada suatu masa. 

Editor Pengurusan, Berita dan Majalah Astro Arena, Ahmad Khawari Mohd Isa berkata, siaran langsung terpanjang ini dibuat untuk memberikan kepuasan pada penonton menyaksikan acara Sukan SEA ini. Malah, ujian siaran langsung ini dilakukan sejak 8 Ogos lalu sebelum acara hari pertama bermula pada 14 Ogos lalu menerusi bola sepak.

"Sejak Astro Arena ditubuhkan pada tahun 2010, ini adalah projek terbesar dibandingkan sebelum ini kita banyak ke negara orang dengan kumpulan kru produksi yang lebih kecil. Seperti mana diperkatakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, beliau mahu Malaysia sebagai penganjur menjadi lebih bagus dari Singapura apabila lebih banyak sukan dan perancangan dibuat.

"Cabaran terbesar pada kami bukan saja dari segi saluran menerusi Astro Arena tetapi sebagai ketua kepada konsortium saluran televisyen yang lain yang bersama menjayakan acara sukan kali ini," katanya kepada Rojak Daily Skop! ketika ditemui di Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, perancangan Sukan SEA ini bermula sejak dua tahun lalu iaitu pada November 2015 selepas penganjuran Sukan SEA di Singapura berakhir. 

Sebanyak 14 kumpulan kru produksi dari tujuh negara bekerjasama menjayakan aspek penyiaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

KERJASAMA PRODUKSI LUAR

Sudah tentu, sebagai penyiar stesen televisyen utama untuk Sukan SEA, Astro Arena menggalas cabaran besar untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Menariknya, penganjuran acara ini turut menyaksikan kerjasama produksi tempatan dan antarabangsa 'berkampung' di IBC untuk memberikan liputan terbaik pada penonton.

Bagi acara olahraga dan akuatik umpamanya, kita juga menggunakan produksi dari Australia untuk membuat siaran langsung dan mengambil syot terbaik pada dua acara itu.

Astro Arena menggunakan 4 kumpulan kru produksi mereka untuk memastikan siaran langsung berjalan lancar.

"Astro Arena sebagai ketua melihat apa kekurangan pada aspek produksi dan menggunakan kepakaran dari luar seperti dari Australia yang saya fikir terbaik dalam kerja produksi seperti mengambil syot untuk acara akuatik dan olahraga. Ini sebenarnya, memberi ruang pada kru tempatan seperti Astro Production untuk belajar.

"Seperti Singapura, mereka melantik satu syarikat luar untuk membuat kerja produksi, jadi kos menjadi lebih banyak manakala kru tempatan mereka tidak banyak belajar. Apabila kita cadang pada pihak kementerian, kita beritahu ini adalah kombinasi tetapi majoriti kru tempatan terbabit dalam acara ini.

"Bagaimanapun, ini adalah peluang terbaik pada kru tempatan untuk timba pengalaman daripada kru produksi luar. Konsep Astro Arena, apabila kita mahu siarkan seberapa banyak acara sukan yang dipertandingkan jadi kita perlu mencari kumpulan kru produksi lain untuk bekerjasama seperti Media Prima Berhad (MPB), RTM dan luar negara," katanya.

Tambahnya, kali ini teknologi robotik juga digunakan dalam sukan akuatik untuk merakam syot dalam kolam renang. 

Singapura menggunakan kru produksi luar untuk terbabit sama dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

KEPAKARAN STANDARD SUKAN OLIMPIK

Pihak media yang diberi kesempatan melihat sendiri kru produksi televisyen bekerja di IBC, apa yang menarik perhatian adalah kewujudan unit Control, Distribution and Transmission (CDT) yang bertindak sebagai bilik kawalan utama mengendalikan segala siaran acara Sukan SEA yang berlangsung pada setiap hari.

"Sebagai contoh apabila MPB membuat siaran langsung untuk sukan badminton, 'feed' ini akan dihantar ke CDT dan kemudian masuk ke Astro Arena yang bertindak memilih antara 14 'feed' daripada 14 kumpulan kru produksi yang bertugas untuk disiarkan ke saluran Astro Arena.

"Astro Arena menyiarkan Sukan SEA menerusi saluran 798, 799, 800, 801 untuk Standard Definition (SD) dan 802, 803, 804, 805 (High Definition - HD). Sukan SEA kali ini menyaksikan kerjasama 4 kumpulan kru produksi dari Astro Arena, MPB (2), RTM (2), Australia (2) manakala Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia membawa satu kumpulan kru produksi setiap satu," ujarnya.

Ahmad Khawari (tiga dari kiri) bersama Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Astro Arena, John Nienaber (tiga dari kanan) serta penyampai Astro Arena yang bertugas di Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC), Kuala Lumpur.

Seperti mana cabaran besar untuk memastikan segala siaran langsung ini berjalan lancar, CDT ini dikendalikan kumpulan kru produksi pakar dan profesional dari luar negara.

"Hanya ada tiga syarikat mempunyai kepakaran mengendalikan 14 'feed' seperti ini menggunakan sistem visual and audio dikenali sebagai sistem Vanda yang tidak boleh dilakukan syarikat lain iaitu IGBS dari Perancis yang menggendalikan CDT kali ini manakala Australia dan Eropah.

"Mereka mempunyai pengalaman luas termasuk pernah terbabit dalam penganjuran Sukan Olimpik. Kita boleh buat apa yang mereka buat tapi tidak sampai standard tinggi macam mereka. Walaupun kebanyakkan mereka dari luar negara yang bertugas di CDT tetapi Astro Arena juga menghantar kru untuk belajar dan mendapat pendedahan agar mereka boleh menjadi 'player' kemudian dan ini adalah perancangan kita yang juga sebagai 'knowledge transfer'," katanya.

Konti Astro Arena yang menempatkan 14 'feed' yang dipilih sebelum disiarkan kepada penonton.

Tambahnya, bagi cabaran memilih acara yang mahu disiarkan pada setiap hari, IGBS akan memberi senarai jadual acara esok kepada Astro Arena setiap hari pada masa tengahari sebelum perbincangan bersama produser diadakan.

"Produser akan membuat perancangan harian yang kemudian dicadangkan pada saya. Selepas bersetuju, kita akan membuat 'finalize'. Astro Arena sendiri mempunyai banyak saluran termasuk 4 saluran di Astro Go. Ketika Datuk Rohana Rozhan (Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Malaysia Holdings Berhad) datang ke IBC, beliau mahu Astro Arena menyiarkan sebanyak mungkin acara sukan kepada penonton.

"Jadi, kita perlu 'synchronize' agar tidak menayangkan sukan yang sama pada setiap saluran," katanya sambil menyatakan Astro Arena kali ini menggunakan khidmat lebih 300 kru termasuk kakitangan kontrak untuk acara temasya terbesar kali ini.

 

Must Watch Video