Setiap tahun ada saja kemalangan membabitkan haiwan sehingga mengakibatkan ancaman kepada spesis berkenaan.

Tidak pasti dimanakah silapnya, saban tahun jumlah kemalangan haiwan liar ini semakin meningkat dan isu berkenaan dilihat tidak menemui jalan penyelesaiannya.

Persoalannya, berapakah jumlah sebenar haiwan liar yang terkorban akibat kemalangan dalam tempoh lima tahun ini?


HIDUPAN MAMALIA PALING BANYAK TERKORBAN

Sebanyak lapan ekor binturong terkorban sejak 2012.
Menurut sumber dikeluarkan Jabatan Perhilitan Malaysia sebanyak 2,346 haiwan yang terkorban dalam kemalangan di jalan raya antara tahun 2012 sehingga 2017.

Menerusi laporan berkenaan, 1,398 adalah dalam kategori mamalia manakala 867 dan 86 haiwan masing-masing terdiri daripada reptilia dan burung.

Spesis yang paling tinggi terbabit dalam kemalangan adalah biawak iaitu sebanyak 730 ekor, kera (430) dan musang (403).

Haiwan lain turut terkesan dengan isu kemalangan ini adalah babi hutan sebanyak 259 ekor terkorban, ular (136) dan kucing batu (84).

Bagi spesis utama yang terlibat pula tapir mencatatkan jumlah paling banyak terbunuh dalam kemalangan iaitu sebanyak 60 ekor.

Jumlah ini diikuti haiwan binturong dan beruang matahari sebanyak lapan dan empat ekor.

Ini antara spesis yang jarang kelihatan di jalan raya biasa dan mungkin membabitkan jalan raya di kawasan pedalaman.

Gajah misalnya mencatatkan sebanyak empat ekor terbunuh sepanjang lima tahun ini. Kambing gurun dan harimau kumbang pula dua ekor diikuti dengan harimau belang iaitu seekor.


PENGUATKUASAAN PERLU DIPERTINGKATKAN

Menerusi laporan malaysianinsight, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Henry Goh mendesak pihak berkuasa supaya mencari jalan penyelesaian terhadap kematian hidupan liar ini.

Jelasnya, sikap pengguna jalan raya yang bukan sahaja membiarkan begitu sahaja binatang yang dilanggar, malah ada yang menyiat kulit dan mengambil anggota badan binatang yang menjadi mangsa kemalangan.

Antara kes membabitkan haiwan liar paling diingati adalah kes harimau belang yang dilanggar kenderaan pelbagai guna MPV di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada Februari tahun lalu.

Selain itu, kematian seekor tapir yang mati di Chukai, Terengganu dan Ulu Bendul Negeri Sembilan turut menarik perhatian ramai.