Las Vegas menjadi lokasi terbaru serangan ‘pengganas’ apabila meragut 59 nyawa manakala 527 cedera ketika menyaksikan konsert terbuka di Las Vegas Strip malam tadi. Skala tembakan rambang ini dikategorikan sangat besar dan ironinya ia hanya dilakukan oleh seorang individu.

Biarpun penjenayah ini ditemui mati membunuh diri di sebuah hotel berdekatan tetapi apa yang mengejutkan adalah jumlah senjata ditemui pihak berkuasa sebaik insiden terbabit.

Sehingga kini, sebanyak 16 senjata ditemui di bilik hotel penjenayah ini menginap dan 18 senjata api dan ribuan peluru ditemui di rumahnya di Mesquite, Nevada. Jadi siapakah penjenayah ini sebenarnya?

Lokasi penembak di tingkat 32 di hotel Mandalay Bay, Las Vegas.

BEKAS AKAUNTAN JADI PEMBUNUH

Lelaki berusia 64 tahun ini dikenali sebagai Stephen Paddock adalah seorang bekas akauntan sebelum menyerahkan dirinya sebagai hamba judi. Perkara ini didedahkan sendiri oleh adiknya, Eric Paddock kepada The New York Times.

Menurut Eric, abangnya itu seorang yang kaya dan rutin hariannya adalah berjudi. Malah hotel menjadi rumah keduanya. Selain itu beberapa sumber turut mendedahkan Stephen pernah menjadi kaki judi kelas atasan di kasino Nevada beberapa tahun lalu.

Selain tu sumber turut memaklumkan Stephen pernah berkecimpung dalam pelaburan hartanah di Texas dan pekerjaan tetap pernah digalasnya adalah 30 tahun lalu sebelum menyerah diri sebagai kaki judi tegar. Selain itu Stephen turut mempunyai lesen juruterbang dan pernah memiliki dua enjin tunggal pesawat.

Jarak antara lokasi penembak dengan penonton di sebuah konsert berhampiran hotel Mandalay Bay, Las Vegas.

MASALAH KELUARGA

Dari aspek peribadinya, Stephen dikatakan gagal dalam perhubungan apabila sebanyak dua kali berdepan dengan kes penceraian. Malah, penjenayah ini sebenarnya bergelut dengan masalah keluarga sejak kecil lagi.

Stephen dibesarkan oleh ibunya bersama tiga lagi adik beradik tanpa kasih sayang seorang bapa. Keluarga mereka juga sering berpindah dari Iowa ke Tucson dan ke California.

Kisah keluarga Stephen bertambah rumit apabila dia dan adik beradikya ‘dimomokkan’ dengan kisah kematian bapa mereka sejak kecil oleh ibunya. Hakikatnya bapanya sebenarnya terjerumus dalam tirai besi selama 20 tahun atas kesalahan merompak bank pada tahun 1961.

Lebih teruk lagi, bapa Stephen bertindak melarikan diri dari penjara pada 1968 hingga menyebabkan dia antara individu paling dikehendaki FBI ketika itu. Poster ‘Wanted’ dikeluarkan pihak berkuasa turut memberi amaran individu terbabit sebagai psikopat.


BELI SENJATA API

Pengurus premis Guns & Guitars, Christopher Sullivan mendedahkan urusan pembelian tiga jenis senjata api iaitu satu pistol dan dua senapang yang dibeli oleh Stephen tahun lalu. Menurutnya, semua pembelian adalah sah dan menjalani pemeriksaan khusus.

"Lelaki itu tidak mempunyai sejarah jenayah," katanya.

Pihak berrkuasa masih menjalankan siasatan menyeluruh dengan membongkar segala maklumat yang mampu dijadikan klu berhubung punca sebenar serangan rambang ini. Bagaimanapun pasukan penyiasat mengesahkan insiden tembakan rambang tiada kaitan dengan kumpulan militan Daesh.