SKOP
Kesibukan Tugas Bukan Alasan Dua Doktor Ini Jadi Hebat
Bekerja sebagai doktor perubatan memang cukup sibuk apatah lagi dipanggil bertugas secara 'on call' pada bila-bila masa. Sebelum ini, banyak kisah kita dengar doktor perubatan kurang masa berehat sehingga waktu kerja yang terlalu lama menjadi punca kepada mereka terbabit dalam kemalangan.
Bagi Dr Nurul Hassanah Muslim, tanggungjawab yang dipikul bukan alasan untuknya melaksanakan tugas hakiki sebaik mungkin tetapi paling bermakna apabila beliau diumumkan sebagai juara qariah terbaik sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini semalam.
PENGALAMAN BARU
Doktor berusia 27 tahun ini yang bertugas di Bahagian Pediatrik, Hospital Umum Sarawak menyatakan rasa gembira apabila diumumkan sebagai pemenang kerana seperti tidak percaya kerana masih ada yang lebih baik berbanding dirinya.
Menurutnya, penyertaan pertama bersama KKM dalam Majlis Tilawah al-Quran memberi satu pengalaman baru kerana banyak yang perlu diperbaiki dari pelbagai sudut termasuk bacaan dan lain-lain.
"Kejayaan ini cukup amat mengembirakan saya apabila turut terpilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun hadapan sebagai hadiah utama pertandingan ini," katanya kepada Rojak Daily Skop!.
Tambahnya, bagi menajamkan lagi bacaan al-Quran beliau menuntut ilmu dengan guru agama sejak di peringkat sekolah sehingga melanjutkan pelajaran ke universiti.
TEBUS KEKALAHAN
Bagi qari terbaik dimenangi doktor perubatan dari Hospital Kemaman, Terengganu, Dr Muhammad Hazim Sharum, 28, sekaligus diumumkan qari terbaik keseluruhan.
Menurutnya, kejayaan ini juga merupakan penebus kekalahan pada tilawah Al-Quran pada tahun lalu selepas menduduki tempat ketiga biarpun pernah muncul juara pada 2014.
Katanya, segala persiapan diperbaiki serta dia turut menghadiri kursus pembacaan dan teknik bacaan yang betul.
"Mengenai hadiah menunaikan ibadah haji di Makkah memberikan satu kenangan terindah selain memperbaiki segala kelemahan yang ada pada tahun sebelumnya.
"Alhamdulillah berkat pergi kursus asas Al-Quran dan membetulkan segala bacaan dan akhirnya berjaya," katanya.
Must-Watch Video