Orang ramai digemparkan dengan kejadian sebahagian bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terletak di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor terbakar.

Api dan asap tebal kelihatan dengan jelas dari tepi bangunan yang terletak berhampiran dengan Lebuhraya Persekutuan itu.

Jika melihat pada rakaman yang tular di media sosial, ia nampak begitu serius. Namun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyatakan tiada kecederaan dilaporkan dan keadaan terkawal.

Bagaimanapun, di sebalik kejadian berkenaan pastinya sesetengah pihak yang bimbang terhadap kebocoran maklumat pencarum KWSP yang mungkin terjejas.

JAMINAN INTERGRITI MAKLUMAT

Pencarum tidak perlu bimbang dengan kejadian kebakaran berlaku hari ini.

Sehubungan itu, KWSP hari ini membuat kenyataan media dengan memberi jaminan kepada pencarum yang mana simpanan ahli tidak akan terjejas biarpun sebahagian pejabat di lokasi tersebut terbakar.

Berdasarkan kenyataan berkenaan, Pasukan Pengurus Krisis Cawangan sedang bekerjasama dengan pihak bomba dalam memastikan kebakaran berkenaan tidak merebak ke keseluruhan bangunan dan kawasan berhampiran.

Cawangan dan pejabat KWSP Petaling Jaya telah ditutup buat sementara waktu berikutan kejadian tersebut.

Malah, pengosongan bangunan telah dilakukan manakala pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup sepenuhnya.

Bagi majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi KWSP disarankan supaya mengunjungi cawangan yang terletak di ibu pejabat KWSP, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

40 PERATUS BANGUNAN HANGUS

Gambar yang sempat dirakam oleh orang awam
Kejadian kebakaran bangunan terbabit dipercayai mula berlaku kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Sebanyak lapan jentera bomba dikerahkan dalam usaha memadam kebakaran membabitkan 43 anggota dan pegawai JBPM dari Balai Bomba Damansara, Pelabuhan Klang, Hang Tuah dan Pantai.

Hampir 40 peratus kawasan bangunan enam tingkat itu terbakar.

Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, punca sebenar kebakaran di bangunan KWSP, bermula ketika kerja-kerja penyelenggaraan.

Berlaku percikan api yang terkena 'cladding' atau lapisan pelindung yang mudah terbakar. Penggunaan 'cladding' mudah terbakar itu melanggari undang-undang.