SKOP
Mangsa Along Masih Boleh Selamat Jika Segera Buat Aduan
Berdepan keadaan terdesak ada ketikanya membuatkan pemikiran manusia menjadi buntu sehingga mengambil keputusan tanpa berfikir panjang. Situasi seperti ini sering berlaku pada individu yang bertindak meminjam along untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.
Meskipun, jumlah pinjaman tidaklah terlalu banyak tetapi apa yang menakutkan peminjam adalah kadar faedah yang dikenakan terlalu tinggi yang boleh dikategori tidak masuk akal. Mereka yang terbabit dengan situasi ini sebenarnya berdepan dengan masalah baru apabila sukar melangsaikan hutang along.
SIAPA ALONG?
Menurut laman sesawang Polis Diraja Malaysia (PDRM), along bertindak menipu mangsa dengan memberi wang pinjaman secara haram bersama kadar faedah yang sangat tinggi. Malah, mereka bertindak ganas sekiranya peminjaman tersebut tidak dibayar.
Peminjam perlu faham tiada perjanjian yang ditandatangani antara along dengan peminjam. Along menjalankan modus operandi dengan menampal kad perniagaan mereka di merata tempat seperti dinding bangunan, perhentian bas, kedai makan dan pusat hiburan.
Malah, mangsa boleh terpengaruh dengan iklan along yang menggunakan ciri-ciri Islam termasuk menggunakan wanita bertudung untuk menyakinkan peminjam. Lebih parah, along juga memberi kemudahan pinjaman menerusi kad visa dan mastercard dengan cara menggunakan kad tersebut di premis mereka untuk ditukarkan dengan wang tunai daripada along.
KUTIP BUAH MASIH GAGAL LANGSAI
Kes terbaru membabitkan seorang peminjam yang mengambil keputusan pergi ke Australia bekerja memetik buah di sebuah ladang yang menawarkan gaji sebanyak RM25 sejam.
Difahamkan, mangsa yang meminjam sebanyak RM10,000 masih gagal melangsaikan hutang lamanya itu sehingga memaksanya pulang semula ke tanah air dan meminta bantuan Perunding Masalah Ceti Haram (PMCH), Aryati Razak, seperti dilaporkan Harian Metro.
MINTA BANTUAN
Susulan aduan lelaki terbabit, PMCH bertindak mengadakan perbincangan dengan along berkenaan untuk menjadualkan semula bayaran pinjaman yang dilakukan sebelum ini. Sebagai pengajaran, mangsa mengesa peminjam lain agar mendapatkan rujukan daripada pihak yang lebih pakar seperti PMCH untuk berbincang mengenai kadar bayaran dan sebagainya. PMCH boleh dihubungi di talian 012-3662127.
Sebagai satu lagi jalan penyelesaian, orang ramai yang terbabit menjadi peminjam along juga boleh mendapatkan bantuan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Badan bukan kerajaan (NGO) ini sudah menjalankan tanggungjawab ini sejak sedekad lalu membantu ramai peminjam along menerusi rundingan bayaran balik.
Merujuk maklumat berkenaan di akaun media sosial Facebook, PPIM menyatakan mereka boleh membantu peminjam along ini menyelesaikan masalah tetapi mengenakan syarat untuk pengadu yang pertama kali membuat aduan pada mereka. Mangsa juga dilarang mendedahkan maklumat pegawai PPIM termasuk sebarang butiran aduan seperti perbincangan, yuran dan cara tindakan yang diambil.
Mereka boleh dihubungi PPIM menerusi talian 0178477357 atau 013226244 dan juga boleh membuat temujanji di pejabat PPIM.
Must-Watch Video