SKOP
Naluri Penyudah, Rajin, Berlari Tanpa Henti Faktor N. Thanabalan Sebagai Hero Pasukan Malaysia
Aksi ketiga Malaysia menentang Myanmar dalam acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada malam tadi memang cukup mendebarkan apabila pasukan Kebangsaan berjaya mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor.
Ini adalah kemenangan berturut-turut pasukan negara selepas menewaskan Singapura dan Brunei sebelum ini. Lebih menarik, pemain negara, N. Thanabalan menjadi hero Malaysia pada perlawanan itu selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-33 dan ke-82 manakala satu gol lagi disumbangkan Safawi Rasid (minit ke-34).
Kemenangan yang cukup bermakna buat negara ini melayakkan Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir. Percaturan Ketua jurulatih skuad bola sepak B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee meletakkan Thanabalan dalam kesebelasan utama negara menjadi sehingga pemain itu menyumbang dua gol penting buat Malaysia.
PUJI N. THANABALAN
Seperti aksi hebat Thanabalan dalam perlawanan ketiga ini, Kim Swee memuji usaha keras pemain itu yang membawa kemenangan keatas Myanmar untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir kejohanan kali ini.
"Dia mempunyai naluri penyudah dan kerajinannya bukanlah satu naluri. Anda dapat lihat sepanjang 96 atau 100 minit perlawanan, dia berlari tanpa henti.
"Itu adalah kelebihan buat saya jika dia terus melakukannya kerana ia merupakan ancaman terhadap pasukan yang akan kami hadapi," katanya kepada Stadium Astro.
CORAK PERMAINAN MALAYSIA LEBIH MENYAKINKAN
Bermula dengan corak permainan lebih berhati-hati antara kedua pasukan pada babak awal permainan, percubaan bahaya pertama Malaysia muncul pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma Irfan Zakaria yang ditepis keluar penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing.
Kegembiraan rakyat Malaysia tiba apabila Thanabalan menjaringkan gol pertama pada minit ke-33 yang menampan masuk bola daripada hantaran Matthew Davies sekaligus menggamatkan suasana stadium yang dibanjiri hampir 80,000 penyokong. Nyata, gol pertama memberi semangat pada pemain negara untuk mempamerkan corak permainan yang lebih menyakinkan.
Belumpun sempat Myanmar bangkit memperkemas pertahanan, gawang mereka bergegar lagi selang seminit kemudian menerusi Safawi yang menanduk masuk hantaran lintang S.Kumaahran sehingga menewaskan Sat Naing. Kedudukan selesa Malaysia kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus mengasak dan berpeluang menambah jaringan. Seperti mana dilaporkan Kuala Lumpur 2017, dua percubaan Kumaahran dan Matthew pada masing-masing pada minit ke-62 diselamatkan penjaga gol pihak lawan.
Thanabalan akhirnya membuktikan dia semenangnya hero negara pada malam tadi dengan menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-82 setelah menanduk masuk hantaran pemain gantian, Jafri Firdaus Chew sebelum Myanmar mendapat gol saguhati dua minit kemudian menerusi Than Paing.
Must-Watch Video