'DBC Bundle' boleh diterjemahkan sebagai ‘pesta bundle’, mungkin itu paling sesuai menggambarkan sambutan orang ramai terhadap kewujudan satu jenama barang terpakai atau ‘bundle’ yang kian mendapat perhatian dalam kalangan pengguna ketika ini.

Siapa yang tidak ‘naik hantu’ apabila jualan baju, seluar jean termasuk karpet hanya dijual serendah RM1 pada setiap hujung minggu. Jika hari biasa, RM10 untuk satu plastik besar. Murah gila bukan!

Bisnes DBC Bundle ini bagaikan fenomena pada masyarakat tempatan untuk sakan membeli atau dalam istilah lain memborong apa saja pakaian yang dijual murah.

Rojak Daily Skop! menyingkap kisah di sebalik jualan hebat kedai ‘bundle’ ini.


BERMULA DARI RUMAH KE RUMAH

Rasmi (tengah) bersama pekerjanya bergambar ketika hari pembukaan cawangan baru gudung DBC.
Setiap kejayaan itu pasti bermula dari bawah. Tidak kurang juga bagi pengusaha DBC Bundle, Rasmi Abdullah ini. Menurutnya, dia memulakan perniagaan baju terpakai ini pada tahun 2013 secara kecil-kecilan.

Apa yang dilakukan ketika itu adalah berkunjung rumah ke rumah untuk membeli baju terpakai. Harga yang dibeli ketika itu hanya RM1 bagi satu kilogram. Kesemua baju terbabit kemudian dikumpul sebelum dijual menerusi dalam talian. Tiada kedai, premis, atau gudang ketika itu.

Tahun 2014 merupakan titik permulaan bagi peniagaan yang diusahakan wanita ini. Bermula dengan berkunjung rumah ke rumah, pakaian terpakai ini berjaya dikumpulkan sehingga mencecah 6 tan.

Jumlah ini sekali gus membolehkan beliau bersama rakan kongsi membuka kedai DBC Bundle pertama mereka di Taman Ria Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.

LIMA CAWANGAN DAN TAWARAN PRODUK JEPUN

Pelanggan bagaikan sedang berpesta memilih pakaian.

Tidak terhenti di situ, DBC Bundle kemudian menarik perhatian satu lagi pengusaha yang menawarkannya untuk mengambil bekalan baju terpakai daripada Jepun. Sejak itu jugalah sekurang-kurangnya 4 kontena akan dibawa masuk untuk memenuhi kehendak pembeli setiap bulan.

Bermula dari satu cawangan di Selangor, DBC Bundle kemudian melebarkan sayapnya ke Sabah. Percubaan untuk memasuki pasaran Sabah ini ternyata berhasil apabila empat cawangan sudah dibuka biarpun secara berperingkat.

Antara cawangan dibuka termasuk 3 di daerah Tawau dan satu di Lahad Datu. Jumlah ini menjadikan lima cawangan DBC Bundle di Malaysia termasuk di Selangor.

RM1 JADI TUMPUAN

Selain pakaian, karpet juga dijual pada harga RM1.

Harga serendah RM1 untuk semua jenis barang dijual menjadi kekuatan DBC Bundle. Malah, pilihan pelbagai jenis kain yang dijual menjadikan orang ramai yang berkunjung ke gudang ini ‘naik gila’. Selain pakaian lelaki dan perempuan, barang yang turut dijual adalah langsir, cadar, selimut, sarung bantal dan karpet.

Menariknya, harga yang dijual adalah RM1 bagi gudang di Selangor manakala RM2.50 untuk cawangan di Sabah. Jauh lebih murah daripada ‘bundle’ kebiasaan yang kita lihat. Pada harga serendah ini pelanggan boleh dapat pakaian dari Jepun, Korea dan Amerika Syarikat.

Bagi penduduk sekitar Selangor, anda boleh ‘cuci mata’ di gudang ini pada Sabtu dan Ahad, jam 10 pagi sehingga 8 malam. Sekiranya berkunjung pada hari biasa, anda boleh membeli apa jua barang dengan harga RM10 bagi satu plastik besar. Memang berbaloi sungguh membeli!

Bayangkan dengan plastik sebesar ini, anda hanya perlu membayar RM10. Untung bukan!
Bagi penduduk sekitar Tawau dan Sabah anda boleh rujuk di Facebook Duo Bundle Collection kerana ketika ini mereka sedang giat melakukan jelajah di dewan terpilih seluruh Sabah. Difahamkan sebanyak 300 ‘bundle’ akan dibuka selama 30 jam tanpa henti!