SKOP
Pemain Simpanan Buktikan Mereka Hero Pasukan Malaysia
Separuh masa pertama perlawanan bola sepak Sukan SEA Ke-29 antara Malaysia menentang Singapura pada malam tadi memang cukup mendebarkan ramai penonton apabila pasukan Kebangsaan gagal menjaringkan gol. Lebih meresahkan sebaik pasukan negara jiran itu terlebih dahulu mengegarkan gawang Malaysia pada minit ke-38.
Bagaimanapun, dua pemain simpanan negara yang masuk pada separuh masa kedua perlawanan membantu skuad B-22 Malaysia bangkit menewaskan Singapura dengan keputusan 2-1.
Mohammad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan menggantikan Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik dan Muhammad Syahmi Safari menjadi hero pasukan Kebangsaan.
PERCUBAAN SAFAWI TIDAK MENJADI
Penjaring gol negara ketika menentang Brunei sebelum ini, Muhammad Safawi Rasid gagal mencipta gol pada perlawanan kedua kali ini meskipun melakukan percubaan pertama menerusi rembatan deras pada minit kesembilan tetapi ia tepat ke arah penjaga gol lawan, Muhammad Zharfan Rohaizad.
S. Kumaahran pula yang dijatuhkan di luar kotak penalti pada minit ke-30 seakan memberikan peluang gol kepada negara tetapi malangnya sepakan percuma yang diambil Safawi terkena benteng lawan.
Lapan minit kemudian, kealpaan barisan pertahanan yang tidak mengawal ketat pemain pihak lawan, Amiruldin membuka ruang kepada pemain tengah itu melakukan rembatan dari luar kotak penalti. Sepakan itu mengenai tiang sebelum menerjah jaring untuk meletakkan Singapura di depan pada minit ke-38.
Kumaahran sekali lagi dijatuhkan ketika tambahan masa satu minit pada separuh masa pertama. Sebaliknya, sepakan percuma Safawi gagal buat kali kedua untuk menghadiahkan gol selepas bola terkena palang.
Skuad negara kelihatan terdesak untuk memburu jaringan sebaik memulakan separuh masa kedua dengan kerap melakukan serangan. Safawi dua kali membuat hantaran lintang ke depan gol pada minit ke-58 dan 61, tetapi tiada pemain negara berada di kedudukan baik untuk menyudahkannya.
Tidak lama selepas itu, Kumaahran menerima hantaran sebelum dia melakukan rembatan deras yang melewati palang. Nor Azam yang masuk sebagai pemain gantian, melakukan rembatan deras ke arah gawang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Terdahulu, Safawi mengelirukan pemain lawan untuk membuat hantaran baik kepada penjaring kelahiran Pahang itu. Enam minit kemudian, skuad negara memperoleh gol kedua hasil jaringan Thanabalan ketika berlaku keadaan kelam-kabut di depan pintu gol lawan.
"Pada separuh masa pertama, kami terlalu berhati-hati dengan corak permainan Singapura, dan pada separuh masa kedua, kami bangkit dengan dua jaringan.
"Ia taktikal yang sungguh berkesan daripada jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) untuk perlawanan ini. Kami harap dapat melakukan dengan lebih baik untuk aksi ketiga berdepan Myanmar (Isnin depan)," kata kapten pasukan negara, Muhammad Adib Zainudin seperti dilaporkan Stadium Astro.
Ia kemenangan kedua skuad negara selepas menewaskan Brunei 2-1 dan kekalahan kedua Singapura apabila kalah di tangan Myanmar 2-0, kelmarin. Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Myanmar menewaskan Laos 3-1 di Stadium Selayang, malam tadi
Malaysia, Singapura, Myanmar, Laos dan Brunei bersaing dalam peringkat kumpulan A untuk memburu dua tempat separuh akhir.
Must-Watch Video