Bagi segelintir pemilik kenderaan, memiliki nombor pendaftaran khas dan eksklusif menjadi satu impian. Nombor pendaftaran seperti Proton, Perodua, Putrajaya, SUKOM (Sukan Komanwel pada tahun 1998), XIII NAM (sempena persidangan NAM pada tahun 2003) dan 1M4U antara tarikan pada pemilik kenderaan sebelum ini.

Meskipun ia hanya nombor pendaftaran kenderaan tetapi individu yang berhasrat memilikinya sanggup membayar sehingga beratus ribu ringgit menyamai harga sebuah kenderaan mewah. Mungkin orang lain beranggapan ia kerja 'gila' tetapi individu yang berjaya memiliki nombor pendaftaran khas dan eksklusif ini mendapat kepuasan buat diri sendiri.


BUKAN LAGI ACARA BESAR

Jika merujuk pada nombor pendaftaran seperti SUKOM dan XIII NAM, ia dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena acara besar yang pernah berlaku dalam negara ini. Bagaimanapun, pada tahun ini nombor pendaftaran khas dan eksklusif ini tidak lagi menunggu acara besar untuk dikeluarkan.

Apa yang menarik perhatian, satu badan bukan kerajaan yang mewakili artis iaitu Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) turut memperkenalkan nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf 'US'. Nombor pendaftaran ini turut dibida kepada orang ramai bermula 15 Julai lalu sehingga 20 Ogos lalu.

Bagi nombor pendaftaran 'US1' harga bidaan bermula dari RM500,000, US2, US5, US7 dan US8 bernilai RM250,000 manakala paling murah berharga RM3,000 untuk nombor pendaftaran dari US100 sehingga US998.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi memberitahu Rojak Daily Skop!, bidaan nombor plat kenderaan 'US' sudah ditutup dan pembida yang berjaya mendapat nombor plat tersebut akan diumumkan kelak manakala baki nombor plat yang ada akan dijual seperti biasa selepas ini.

SENIMAN tampil menjual plat kenderaan 'US' bertujuan mencari dana tabung persatuan itu.

NOMBOR PLAT KENDERAAN ARTIS TERUS JADI PILIHAN

Jika SENIMAN tampil menjual plat kenderaan US mambawa maksud 'Untuk Seniman' yang bertujuan mencari dana tabung persatuan itu yang dianggap sebagai tanggungjawab sosial, begitu juga Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) mengambil langkah sama memperkenalkan nombor plat kenderaan khas mereka sendiri.

Nombor plat kenderaan tersebut iaitu 'A1M' merujuk pada maksud 'Artis 1Malaysia' dijual kepada orang ramai bermula semalam (6 September) sehingga 2 Oktober depan.

Sepertimana SENIMAN, YA1M juga melakukan bidaan untuk nombor plat kenderaan ini sebagai inisiatif mengisi tabung YA1M. Menariknya, golongan selebriti ditawarkan diskaun istimewa jika membida nombor plat tersebut.

Jika orang ramai termasuk peminat terlepas membeli nombor plat kenderaan 'US', mereka boleh membida nombor plat kenderaan 'A1M' pula menerusi laman sesawang www.plata1m.com.my atau menghubungi di talian 011-28012525 (Jef) atau 019-7512258 (Dalip).