Skip to main content

Market Trends

Tiada Istilah Jauh Atau Dekat, Semuanya Itu Tidak Penting

moto8.jpg
Aktiviti konvoi motosikal berkuasa tinggi kini menjadi trend dan ikutan terutama anak-anak muda malah ada yang sanggup berkorban dan menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan sebuah motosikal idaman.

Tidak dinafikan aura itu kini semakin mendapat tempat dan perhatian semua lapisan kaum bukan sahaja motosikal berkuasa rendah atau tinggi tetapi matlamat utama adalah membuang presepsi buruk masyarakat terhadap penunggang motosikal yang sering dilabelkan sebagai mat rempit.

Berbeza di Thailand, aktiviti penunggang motosikal berkuasa tinggi lebih tertumpu kepada aktiviti riadah dan percutian bersama-sama rakan-rakan ke negara jiran termasuk menyertai pelbagai aktiviti amal bersama rakan-rakan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Suasana ini jelas dapat dilihat menerusi satu program amal dikenali Konvoi Amal Tiga Negara 2017 atau '3 Nation Charity Ride' (3NCR) 2017 edisi ke-24 anjuran Kelab Sukan Motor Pulau Pinang diadakan selama tiga hari baru-baru ini di Hotel Bayview Beach Resort, Batu Feringghi, Pulau Pinang mendapat sambutan luar jangkaan dari peserta dari Singapura, Malaysia dan Thailand.

Kehadiran lebih 1,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi mewakili tiga negara yang digabungkan dalam satu acara amal berjaya mengumpul dana bernilai RM20,000 hasil kutipan kebajikan untuk disalurkan kepada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara.

Lebih menarik lagi, kehadiran penunggang motosikal berkuasa tinggi dari ratusan kelab dari tiga negara yang menyertai 3NCR dengan satu tujuan dan harapan adalah berkonvoi sambil beramal tanpa meletakkan sebarang perbezaan umur dan latar belakang.

Golongan wanita juga tidak terkecuali mengambil bahagian Konvoi Amal Tiga Negara 2017 (3NCR) yang diadakan di Hotel Bayview Beach Resort, Batu Feringghi, Pulau Pinang baru-baru ini.

KENANGAN SUKAR DILUPAKAN

Seorang peserta, Damrongsak Lohma, 37, yang juga Presiden Muslim Biker Community dari Bangkok, Thailand yang hadir bersama isteri serta dua sahabat sambil menunggang motosikal BMW GSA R1200 LC begitu teruja dapat menyertai 3NCR pada tahun ini.
 
"Tiada istilah jauh atau dekat semuanya itu tidak penting kerana ia adalah kerja amal selain peluang pertama kali menyertai 3NCR adalah satu kenangan yang sukar dilupakan sampai bila-bila kerana dapat berjumpa teman-teman lama di Malaysia.

"Saya mempunyai ramai kenalan dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia dan sejak terbabit dalam aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi 10 tahun lalu dan mengikuti pelbagai aktiviti konvoi bermotosikal di seluruh Asia dan Eropah.

"Konvoi amal ini adalah satu usaha murni yang perlu dicontohi semua kerana sambil beramal juga kita dapat beramah mesra dengan kanak-kanak kanser serta rakan-rakan dari pelbagai negara yang turut sama datang memeriahkan 3NCR," katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Persahabatan dua negara iaitu (dari kiri), Damrongsak Lohma (Thailand), Mohd Adib Mohd Yusop (Malaysia), Keith Scully (Malaysia) dan Somchai Naknava (Thailand) bersama menyertai Konvoi Amal Tiga Negara 2017.

PUPUK SILATURAHIM

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Sukan Motor Pulau Pinang, Ahmad Ismail Amin berkata, pihaknya melahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana objektif untuk membantu kanak-kanak yang mengidap penyakit kanser akhirnya menjadi kenyataan selain menjadikan konvoi amal yang diadakan setiap tahun antara konvoi yang cukup berprestij.

Menurutnya, dia sendiri bagai tidak percaya apabila sambutan 3NCR pada tahun ini cukup memberangsangkan dan di luar jangkaan dari peserta-peserta yang hadir mewakili pelbagai kelab motosikal dari Thailand, Singapura dan Malaysia sendiri.

Katanya, lebih seronok 3NCR juga berjaya menghimpunkan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India dalam satu acara kerana kita berjaya memupuk semangat silaturahim antara semua penunggang motosikal atau lebih dikenali sebagai 'bikers' dengan satu semangat persaudaraan.

Dua peserta tidak melepaskan peluang bergambar bersama empat model semasa mengambil bahagian Konvoi Amal Tiga Negara 2017 (3NCR).


"Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang tiga hari 3NCR diadakan termasuk majlis makan malam amal, konvoi amal di Taman Belia, penjualan pelbagai barangan eksklusif dari pelbagai jenama motosikal dan pameran motosikal dan lain-lain lagi.

"Lebih menarik lagi pada majlis makan amal 3NCR juga turut diserikan dengan kehadiran lagenda Rock negara, Datuk Awie yang turut sama turun padang membantu dan menyampaikan beberapa lagu," katanya.

Hadir sama, Presiden Kelab Sukan Motor Pulau Pinang merangkap lagenda motosikal negara, Kuan Huah Chin atau lebih dikenali sebagai 'Bulldog' Kuan serta Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak2 Kanser Wilayah Utara, Geetha Nair.

Pelbagai jenis motosikal peserta dari tiga negara jiran menjadi antara tarikan pada acara konvoi amal ini.

Sementara itu, Geetha menyatakan pihaknya bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin membantu kanak-kanak kanser Wilayah Utara.

Jelasnya, sehingga kini kita mempunyai lebih 200 pesakit dalam kalangan kanak-kanak berusia antara lima bulan sehingga 18 tahun dan kesemua mereka kini ditempatkan dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Adanya sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga pesakit yang kurang kemampuan dari Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sendiri dari segi bantuan awal dan rawatan dan pemeriksaan susulan yang perlu dibuat di HPP.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kutipan amal termasuk pihak penaja yang lain dalam menganjurkan program amal ini dan memilih Persatuan Sahabat Kanak2 Kanser Wilayah Utara untuk diberikan sumbangan," katanya.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must-Watch Video