Skip to main content

Market Trends

Tiga Mata Berharga, Ong Kim Swee Puas Hati Prestasi Pemain Muda Malaysia

malaysia-(1).jpg
Berdepan perlawanan pertama sememangnya cukup penting pada pasukan Kebangsaan untuk meraih kemenangan agar tiga mata berjaya diperolehi. Pada perlawanan Malaysia menentang Brunei pada temasya Sukan SEA Ke-29 malam tadi menyaksikan pasukan Kebangsaan berjaya melakar kemenangan pertama dengan keputusan 2-1.

Bagi mereka yang berkesempatan menyaksikan perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor itu, anak didik jurulatih Datuk Ong Kim Swee mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Semangat pemain negara dan sorakan penonton makin membara selepas Safawi Rasid menjaringkan gol pertama pada minit keempat. Penyerang muda Johor Darul Ta'azim (JDT) itu melepaskan voli deras ke gawang Brunei selepas menerima hantaran lambung, Matthew Davies.

Namun, Brunei menyamakan kedudukan kurang 10 minit kemudian menerusi pemain mereka, Zulkhairy Hady Razali yang berjaya menjaringkan gol berpunca kealpaan benteng pertahanan skuad negara. 

Memasuki minit ke-34, berlaku sedikit ketegangan di antara pemain Brunei, Awang Mohd Aman dengan pemain tengah negara, Muhammad Nor Azam Azih sehingga terpaksa dileraikan rakan sepasukan yang lain.

Percubaan demi percubaan ke kubu lawan ditunjukkan pemain negara termasuk ketika Muhammad Syazwan Andik mendapat peluang keemasan pada minit ke-42 untuk meletakkan skuad B-22 negara di depan semula tetapi rembatan jarak dekatnya sekadar melambung tinggi.

Begitu juga, Safawi hampir melakar gol keduanya menerusi sepakan percumanya di hujung babak pertama yang hanya menggegar palang gol.

Bermula babak kedua, Safawi sekali lagi mengancam kubu pihak lawan dengan percubaan dari jarak 20 meter tetapi rembatan derasnya berjaya ditampan penjaga gol Brunei, Haimie Anak Nyaring.

Pemain pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin kemudian membangkitkan semangat pemain negara selepas tandukan derasnya menerjah gawang pada minit ke-60 untuk gol kedua negara hasil sepakan sudut Safawi.

Brunei berpeluang menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan percuma Suhaimi Anak Sulau tetapi berjaya ditampan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal. Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat untuk menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata pertama.

Jaringan pertama pemain negara, Safawi Rasid berjaya melonjak semangat pemain muda negara untuk semangat beraksi pada saingan Sukan SEA Ke-29 kali ini.

PUAS HATI

Kejayaan pasukan negara turut mendapat ucapan tahniah daripada ramai peminat bola sepak tempatan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun Twitter.
Bagi Kim Swee, beliau menyuarakan rasa puas hati terhadap persembahan anak buahnya yang tidak terkesan dengan corak bertahan lawan.

"Ini adalah perlawanan pertama dan pemain saya menghasilkan banyak peluang. Brunei tidak membuka ruang yang banyak dan bertahan dengan baik sepertimana yang kami jangkaan. 

"Gol kedua sangat membantu kami. Tiga mata ini amat penting," katanya kepada Stadium Astro

Malaysia bakal berdepan Singapura dalam perlawanan kedua esok (16 Ogos) di lokasi yang sama.
 

Must Watch Video