Pada 11 Jun lalu, seramai enam ahli sebuah keluarga rentung apabila Proton Exora dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Bahau - Keratong, berhampiran Ladang Risda Palong, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang tersebut, Proton Exora itu terbakar selepas merempuh sebuah treler membawa muatan sawit yang terbabas ke laluan bertentangan selepas gagal memotong sebuah motosikal aiskrim. Turut maut dalam kemalangan itu sepasang suami isteri yang menaiki sebuah Perodua Myvi kerana berlanggar dengan sebuah Toyota Vios ketika cuba mengelak treler berkenaan di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut

Mangsa yang rentung dalam Proton Exora berkenaan ialah pasangan suami isteri Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51 dan Masnoraida M.Yusoof,45, serta anak mereka, Wan Muhammad Muhaimin, 22, Wan Nor Athirah, 18, Wan Muhammad Amar Haziq, 13, dan Wan Noralesya, 7.

Lebih menyedihkan, salah seorang mangsa iaitu Wan Nor Athirah merupakan 'anak syurga' iaitu seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran. Lazimnya pelajar 'istimewa' mengalami masalah pembelajaran disebabkan autisme.

Menurut satu-satunya ahli keluarga itu yang masih hidup, Wan Muhammad Hazim Wan Mohd. Fauzi, 19, kemalangan itu berlaku sewaktu ahli keluarganya yang lain dalam perjalanan menghantar Wan Nor Athirah pulang ke SMPKV Kuantan dari Putrajaya.

Insiden yang turut mendapat liputan meluas pihak media itu menyayat hati ramai rakyat Malaysia yang bersedih dengan musibah berkenaan dengan berkongsi perasaan mereka di media sosial.

Bahagian Pendidikan Khas berkongsi kesedihan

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Shazali Ahmad dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook turut menzahirkan perasaan pilu ke atas kematian remaja terbabit. Wan Norathirah merupakan pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan atau nama ringkasnya (SMPKV) Kuantan, Pahang.

"Saya mewakili seluruh warga Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan mengucapkan salam takziah atas pemergian seorang murid berkeperluan khas daripada SMPKV Kuantan yang terlibat dalam korban jalan raya.

"Mangsa merupakan pelajar Tingkatan 4 dari SMPKV Kuantan yang sedang mengikuti kursus pembantu penyediaan makanan. Kemalangan turut menyebabkan ibu bapa serta tiga adik beradik arwah terkorban. Semoga roh arwah ditempatkan bersama para sahabat Rasullulah S.A.W," katanya.

Keperibadian Wan Nor Athirah

Kematian Wan Nor Athirah turut mengundang simpati warga Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan yang bersama menzahirkan simpati mereka di media sosial.

Salah seorang daripada mereka yang menggunakan akaun Facebook, Solehah Misron memaklumkan pihaknya turut mengadakan majlis tahlil untuk arwah dan semua ahli keluarganya yang terkorban.

Nyeeza Mohd pula memaklumkan, Wan Nor Athirah merupakan bekas pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) sebelum menyambung pelajaran di SMPKV Kuantan.

"Sempat saya bawa pelajar ini ke sukan balapan dan permainan sebanyak dua kali. Saya masih ingat selalu mengusiknya. Budaknya sangat baik dan lurus," katanya.