Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, memulakan Larian Kesyukuran dari Istana Kehakiman Putrajaya ke Laman Maharani Muar selama empat hari untuk mengumpul dana RM200,000 bagi membantu golongan memerlukan.
- Larian ini sebagai simbol kesyukuran selepas beliau membersihkan namanya dan bertujuan membeli iPad untuk mahasiswa serta menyediakan bakul makanan kepada keluarga kurang berkemampuan.
- Syed Saddiq turut disertai tunangnya, Bella Astillah, dan menerima sambutan positif dengan sumbangan yang diterima walaupun larian belum bermula.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah pun memulakan Larian Kesyukuran dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Laman Maharani, Muar.
Larian yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini adalah dengan sasaran mengumpul dana RM200,000 bagi membantu golongan memerlukan di kawasan itu.
Menurut Syed Saddiq, larian itu merupakan simbol kesyukuran selepas beliau melalui perjuangan selama enam tahun bagi membersihkan namanya, selain mahu berkongsi rezeki dengan masyarakat.
"Saya berada di sini kerana keadilan adalah satu perkara yang saya hormati. Di sinilah saya memperoleh kebebasan, nama saya dibersihkan dan maruah saya dikembalikan.
"Saya rasa ini adalah perjalanan terbaik untuk menunjukkan kesyukuran saya dengan memberi semula kepada masyarakat, khususnya warga Muar," katanya kepada pemberita sebelum memulakan larian di Istana Kehakiman pada Khamis.
Larian yang bermula selepas jam 5 petang itu turut disertai tunangnya iaitu penyanyi dan pelakon, Bella Astillah serta dua lagi individu.
Menurutnya, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membeli iPad bagi membantu mahasiswa yang memerlukan, selain menyediakan bakul makanan kepada keluarga kurang berkemampuan.
Saddiq berkata, sambutan orang ramai terhadap inisiatif itu amat menggalakkan apabila sumbangan mula diterima walaupun larian belum bermula.
"Alhamdulillah, sebelum saya mula berlari pun sudah ribuan ringgit berjaya dikumpulkan bagi menjayakan misi ini," ujarnya lagi.
Mengulas cabaran sepanjang larian, Syed Saddiq berkata, beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada setiap langkah yang diambil tanpa terlalu memikirkan halangan yang mungkin dihadapi.
Beliau turut menjelaskan pemilihan Istana Kehakiman sebagai lokasi permulaan mempunyai makna yang cukup besar kerana tempat itu menjadi titik permulaan beliau memperoleh keadilan.
"Selepas enam tahun saya berjuang mendapatkan keadilan, saya memilih untuk memulakan larian di sini sebagai tanda kesyukuran terhadap institusi kehakiman negara yang telah mengembalikan nama baik saya," katanya.
Sumber: Sinar Harian