The Masked Singer
"Tak Faham Kenapa Terlampau Obses?" - Nabila Huda Kesal Program The Masked Singer Malaysia Kena Banding Dengan ...
Pelakon Nabila Huda, 36, meluahkan rasa kesal selepas episod pertama program nyanyian berkonsepkan misteri, The Masked Singer Malaysia dibandingkan dengan negara Korea Selatan.
Menurut Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil, dia merasakan tidak adil dan musykil dengan sikap segelintir yang terlampau obses.
"Saya memang 'overprotective' sebab dah lama bekerja dalam industri hiburan ini. Saya tahu macam mana setiap orang bekerja keras untuk menjayakannya.
"Apabila dibandingkan itu saya rasa tidak adil untuk kami. Ramai ja yang ambil program daripada luar dan bawa masuk ke negara kita.
"Sepatutnya perkara ini kena mula dari diri sendiri. Kita kena sayang negara kita, lagi-lagi tengah Covid-19 ini.
"Saya tak faham kenapa segelintir orang terlampau obses? Saya pun ada juga sikap obses tapi tak terbawa-bawa dalam diri.
"Tolong hargai stesen televisyen yang buat program The Masked Singer Malaysia. Tak rasa bangga ka bila tengok negara kita pun mampu?
"Come on, ini baru episod pertama. Tunggu episod yang akan datang sebab memang gempak. Berhenti bandingkan program kita dengan negara luar.
"Saya tak kata kepada semua, hanya segelintir sahaja. Ramai juga yang bagi komen positif.
"Dalam situasi pandemik ini kita patut bersyukur sebab dapat buat program yang mampu memberi hiburan.
"Lebih baik kita 'enjoy' sebab ia bukan pertandingan nyanyian dan vokal. Ia sekadar hiburan untuk penonton di rumah sama-sama jadi juri," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelakon drama Kamar Kamariah turut memohon agar berhenti 'judge' mengenai persembahan dan kostum yang digayakan oleh peserta.
"Ramai cakap yang program tu tak nyanyi secara langsung hanya sekadar 'miming'. Sebelum nak cakap, tunggu la masa dia buka topeng iaitu masa penghujung program. Kan ada mikrofon pada peserta.
"Lagipun bukan calang-calang orang yang masuk program ini. Kita tahu dia memang seorang bintang yang boleh menyanyi.
"Berkenaan dengan reka bentuk kostum, jangan la 'judge'. Itu sebenarnya dah memalukan Malaysia sebab ia melambangkan negara kita.
"Saya tidak melenting tetapi saya akan cakap jika rasa itu adalah kenyataan. Semua orang tahu saya tidak selalu bercakap tetapi kalau dah bersuara memang betul," katanya lagi.
Abil bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Remy Ishak, Ella Aminuddin, Zizan Razak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak diberi penghormatan untuk menduduki kerusi juri tetap.
Manakala, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.
The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.
Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video