Sekilas
- Fareez Shah mengakui ini kali pertama dia dan isteri berdepan tuduhan mencuri di pusat beli-belah walaupun sebelum ini mereka selalu menerima layanan baik.
- Pihak pusat beli-belah telah menghubungi Fareez untuk berbincang secara tertutup, namun tiada permohonan maaf atau maklum balas mengenai tindakan terhadap pekerja terbabit.
- Isteri Fareez masih terkesan secara emosi dan kesihatan selepas kejadian, manakala Fareez telah membuat laporan polis dan tidak akan menarik balik laporan tersebut.
Pernah tular kerana isteri sarat hamil didakwa mencuri di sebuah pusat beli belah terkenal, lelaki yang dikenali sebagai Fareez Shah mengakui bahawa ia merupakan kali pertama dirinya berdepan dengan situasi tersebut.
Menurut Fareez, sepanjang isterinya mengandung, mereka sentiasa bertemu dengan individu yang baik serta menerima layanan positif daripada orang sekeliling.
Namun, dia tidak menyangka perlu berdepan situasi sebaliknya.
"Ini kali pertama kami melalui pengalaman seperti ini. Selama kami keluar ketika isteri saya mengandung, kami sentiasa berjumpa dengan manusia yang baik-baik sahaja. Sentiasa doakan kami dan berbuat baik pada kami. Kali ini saja kami terpaksa hadap situasi ini," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Fareez memaklumkan pihak pusat beli belah berkenaan ada menghubunginya bagi membincangkan perkara tersebut secara tertutup.
Bagaimanapun, sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang permohonan maaf mahupun maklum balas berhubung tindakan terhadap pekerja yang terlibat.
"Mereka menghubungi saya untuk berbincang secara private, tetapi tiada permohonan maaf
"Tiada sebarang maklum balas dari pihak lotus sehingga kini berkaitan tindakan mereka terhadap pekerja-pekerja tersebut," ujarnya.
Ditanya mengenai keadaan isterinya, Fareez berkata bahawa emosinya masih terkesan dan sedikit terganggu dengan kejadian tersebut.
"Emosi dia agak tak stabil. Dia akan termenung dan nangis tiba-tiba. Dari segi kesihatan dia pula, lebih kepada high pressure," ujarnya.
Terdahulu, isteri Fareez berdepan detik memalukan apabila dituduh mencuri oleh pekerja sebuah pusat beli-belah tanpa sebarang bukti yang kukuh.
Lebih mengejutkan, isterinya itu turut didakwa diminta menunjukkan buku rekod kehamilan (buku pink) bagi membuktikan dirinya benar-benar hamil kerana pekerja terbabit tidak mempercayai 'baby bump' yang dimilikinya.
Terbaharu, Fareez bertindak membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut malah menegaskan tidak akan menarik semula laporan tersebut meskipun kes tersebut telah diselesaikan.