Sekilas
- Penyanyi Mohd Mentor dan Zwen Superchild hasilkan lagu raya berjudul Huru Hara Raya sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang memberi sokongan melalui sumbangan dana.
- Lagu ini bermula dari perbualan santai di media sosial dan mendapat sambutan luar jangka, dengan dana sekitar RM607.50 dikumpul untuk rakaman dan bantuan penaja menampung kos produksi.
- Beberapa personaliti media sosial turut terlibat dalam muzik video lagu ini yang mula ditayangkan di YouTube sejak 6 Mac, sebagai langkah mereka kembali aktif dalam industri muzik.
Penyanyi Mohd Mentor dan Zwen Superchild tampil memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan sebuah lagu raya berjudul Huru Hara Raya, yang dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada mereka.
Menurut Mohd atau nama sebenarnya Mohamad Izwan Mohamad Nor, 37, lagu tersebut menjadi lebih bermakna apabila proses awal rakamannya bermula daripada sokongan peminat sendiri yang tampil memberi sumbangan.

Menariknya, idea menghasilkan lagu raya ini bermula secara santai menerusi perbualan di media sosial, sebelum mendapat sambutan luar jangka daripada pengikut mereka.
"Awalnya saya hanya bertanya pendapat dan sekadar bergurau meminta sumbangan jika mereka masih mahu saya merakamkan lagu baru. Tak sangka ramai yang menghantar mesej memberi sokongan.
"Malah ada yang transfer RM1 sebagai tanda sokongan. Bermula dari situlah datangnya semula semangat untuk merakam lagu raya ini.
"Apabila peminat sudah memberi kepercayaan, saya tidak mahu menghampakan harapan mereka. Jadi mahu atau tidak, saya kena siapkan lagu ini," katanya.
Selepas mendapat sokongan tersebut, Mohd kemudian menghubungi Zwen Superchild yang kebetulan mempunyai idea sama untuk kembali menghasilkan karya baharu bagi menghiburkan peminat.
Hasil sokongan daripada pengikut di media sosial, mereka berjaya mengumpul sekitar RM607.50 sebagai dana permulaan untuk memulakan proses rakaman.
Dalam masa yang sama, mereka turut bersyukur apabila beberapa penaja tampil membantu menampung kos produksi termasuk pembikinan muzik video.
Tanpa menunggu lama, Zwen yang juga komposer lagu tersebut segera mencari idea bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada karya terdahulu.
"Proses menyiapkan lagu ini sangat cepat. Selepas berbincang dengan Mohd, saya mencari idea untuk tampil dengan sesuatu yang berbeza. Kalau sebelum ini saya lebih banyak menghasilkan lagu 'jiwang' dan ketuhanan kali ini kami bawakan unsur komedi.
"Kami juga mendapat kerjasama beberapa personaliti media sosial untuk sama-sama terlibat dalam lagu ini. Mungkin nama kami orang dah lupa, jadi kerjasama ini dapat bantu promosi lagu," ujarnya.

Antara personaliti media sosial yang turut terlibat menjayakan lagu ini ialah Amir Lala, Syiqin Zaidi, Unoo Yuno, Hakak Karipap dan Ayieb Ismail.
Menurut Zwen, lagu raya tersebut juga menjadi langkah awal buat dirinya dan Mohd untuk kembali aktif merakam karya baharu selepas ini.
"Sebelum ini lagu Janjinya Syurga dikenali ramai, namun orang masih kurang mengenali nama Zwen. Jadi dengan adanya lagu raya ini, saya harap lebih ramai sedar akan kehadiran saya dalam industri ini.
"Memang saya banyak terlibat dengan kerja di belakang tabir, namun minat dalam nyanyian tidak pernah padam. Sebab itu saya rasa perlu ada lagu baru.
"Saya dan Mohd juga sudah merancang untuk terus merakam lagu selepas ini. Kalau boleh, kami mahu terus mencari peluang agar bakat dan karya saya mendapat perhatian ramai," luahnya.
Untuk rekod, lagu Huru Hara Raya dicipta bersama oleh Mohd dan Zwen.
Muzik video lagu tersebut mula ditayangkan di saluran YouTube Havana Hunana Music pada 6 Mac lalu.