Sekilas
- Fauziah Ahmad Daud mengekalkan nasihat arwah ibu bapa untuk menjaga bakat seni dengan serius dan menegur mereka yang mengambil ringan soal ini.
- Beliau mengingatkan generasi pelapis supaya tidak hanyut dengan populariti sementara dan menekankan pentingnya disiplin serta kejujuran dalam berkarya.
- Fauziah terharu menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman FFM35 yang dianggap sebagai pengiktirafan bermakna sepanjang kerjayanya dalam bidang lakonan.
Pesanan arwah ibu bapa supaya menjaga bakat sebaik-baiknya masih dipegang seniwati Fauziah Ahmad Daud sepanjang bergelar anak seni.
Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, nasihat arwah bapanya, Datuk Ahmad Daud, dan arwah ibunya, Datin Saadiah, turut mendorongnya menegur penggiat seni yang mengambil ringan soal menjaga bakat
“Mak dengan ayah berpesan, kalau Fauziah tidak menjaga bakat ini betul-betul, Allah akan ambil balik kerana bakat ini bukan hak Fauziah. Ia hak Allah, Dia pinjamkan saja.
“Sebab itu saya terlalu berjaga-jaga dengan bakat ini. Mungkin itu yang membuatkan saya terpanggil untuk menegur dan mengkritik apabila ada yang memasuki persada seni tanpa menyedari betapa bertuahnya mereka dipilih menjadi penggiat seni, tetapi mengambilnya sambil lewa.
“Saya memang pegang kata-kata arwah mak dan arwah ayah itu hingga sekarang. Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Mengimbau zaman kegemilangannya menerusi filem Azura, Ali Setan dan Suara Kekasih, Ogy turut mengingatkan generasi pelapis supaya tidak hanyut dengan populariti.
“Gemilang populariti itu hanya sementara. Saya pernah melalui benda itu dan saya bercakap daripada pengalaman sendiri. Masa itu kita muda, remaja. Bila keluar saja, orang kata, ‘Cantik artis ini!’
“Tetapi kita harus terima hakikat bahawa kita semakin tua dan rupa akan dimamah usia. Itu kita tidak boleh nafikan,” ujarnya.
Menurut Ogy, disiplin dan kejujuran dalam berkarya yang membuatkan sesebuah lakonan terus dikenang penonton.
“Kalau anda mempunyai disiplin dan jiwa yang jujur dalam kerja, itulah yang akan membuatkan nama anda terus meniti di bibir penonton.
“Kita semua perlukan pelapis, tak kira apa jua bidang yang diceburi. Saya nak lihat mereka berjaya. Sebab itu perlu ada orang senior yang sudah melalui proses itu untuk berkongsi perkara sebenar dengan mereka. Saya sudah melalui zaman itu,” katanya.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman FFM35 itu mengakui tergamam selama 20 minit apabila dimaklumkan mengenai pengiktirafan tersebut.
“Bila dimaklumkan akan menerima anugerah ini, saya tergamam selama 20 minit. Saya fikir, ‘Eh, ada orang agaknya lebih layak daripada saya.’
“Rupanya mereka ada kriteria sendiri untuk pemilihan ini. Berbalik kepada soal rezeki, hanya Tuhan yang tahu kenapa Fauziah Ahmad Daud menerima anugerah sebegini,” ujarnya.
Ogy berkata, pengiktirafan itu cukup bermakna buat dirinya yang pada awalnya menceburi bidang lakonan tanpa sekelumit minat sebelum akhirnya jatuh cinta dengan seni tersebut.
“Seni lakon mendidik saya untuk memahami kenapa sesuatu watak bertindak sedemikian tanpa menghakiminya. Ia membuka fikiran saya untuk mengenali manusia.
“Yang paling bermakna ialah ketika kita masih bernafas, masih bernyawa, kita dihargai. Itulah yang indah,” katanya.