Sekilas
- Aina Abdul sebak melihat sokongan peminat yang menunggu di lapangan terbang selepas menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026 walaupun hanya berjaya tempat keempat.
- Dia merancang untuk menghasilkan album baharu yang menjadi projek penting dalam kerjayanya selepas menyelesaikan komitmen bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).
- Selepas pelancaran album, Aina bercadang mengadakan persembahan atau showcase untuk meraikan karya terbaharunya bersama peminat.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui sebak apabila melihat kehadiran ramai peminat yang sanggup menunggunya di lapangan terbang selepas pulang daripada menyertai pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan menerima sambutan tersebut, Aina tidak menafikan masih menyimpan rasa terkilan kerana gagal membawa pulang trofi dan memperoleh kedudukan lebih baik berbanding tempat keempat yang diraihnya.
"Saya sebak sebenarnya sebab melihat ramai peminat menunggu di lapangan terbang. Saya sedih ketika pulang kerana jauh di lubuk hati, saya mahu kembali dengan trofi dan kedudukan yang lebih baik daripada tempat keempat.
"Saya terkilan kerana apabila melihat wajah mereka seorang demi seorang, saya tahu mereka mengharapkan kemenangan daripada saya. Itu yang membuatkan emosi saya agak menurun. Tetapi saya masih gembira kerana melihat mereka sangat menyokong saya," katanya kepada Gempak.
Dalam perkembangan lain, Aina turut berkongsi perancangannya untuk menghasilkan album baharu yang dijangka menjadi projek penting dalam perjalanan kerjaya seninya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Semalam itu menjelaskan dia perlu menyelesaikan komitmen bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) terlebih dahulu sebelum memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perancangan seterusnya.
"MPO dahulu. Kita tidak boleh melangkau kerana MPO mempunyai peraturan dan ketetapan tersendiri. Jadi, kita perlu selesaikan komitmen bersama MPO terlebih dahulu.
"Dalam masa sama, album baharu akan menyusul. Sudah tentu album itu perlu dilancarkan sebelum persembahan atau konsert seterusnya berlangsung. Ini kerana saya tidak mahu menyajikan perkara yang sama. Saya mahu mencabar diri sendiri dan sekarang ini memang sedang berkobar-kobar untuk menghasilkan sesuatu yang baharu.
"Kalau boleh, hari ini juga saya mahu keluarkan semuanya, tetapi tidak bolehlah. Kita perlu ada perancangan yang betul," katanya.
Tambah Aina, selepas album berkenaan dilancarkan, dia merancang untuk kembali mengadakan persembahan sebagai salah satu cara meraikan karya terbaharunya bersama peminat.
"Seperti yang saya katakan, MPO dahulu dan dalam masa sama album baharu akan menyusul.
"Selepas album, pastinya kita akan mengadakan persembahan. Jika bukan konsert besar, mungkin showcase, insya-Allah. Sesuatu untuk meraikan album itu bersama peminat," ujarnya.