Sekilas
- Evertts Gomes meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan Mierul Aiman yang memenangi trofi Pelakon Lelaki Harapan di FFM35.
- Evertts mengakui Mierul layak menang kerana usaha dan komitmen tinggi dalam setiap lakonan.
- Evertts juga mendedahkan Mierul memberi inspirasi kepadanya untuk menyertai program realiti Hero Dewi Remaja.
Pelakon, Evertts Gomes meluahkan rasa bangga dan gembira terhadap kejayaan rakan seperjuangannya, Mierul Aiman yang berjaya merangkul trofi Pelakon Lelaki Harapan pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35).
Menerusi hantaran di Threads, Evertts mengakui Mierul layak menerima kemenangan tersebut selepas melihat sendiri usaha dan komitmen yang dicurahkan aktor itu dalam setiap karya lakonannya.
"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya saya untuk awak.
"Saya pernah bekerja dengan awak dalam banyak projek dan apabila saya katakan awak memang layak menerima kemenangan ini, percayalah bahawa saya mengucapkannya dengan seikhlas hati kerana saya tahu betapa banyak usaha yang awak curahkan dalam karya yang dihasilkan," tulisnya.
Lebih menyentuh hati, Evertts turut mendedahkan bahawa Mierul merupakan antara individu yang memberi inspirasi kepadanya untuk menyertai program realiti, Hero Dewi Remaja.
"Awak memberi inspirasi kepada saya untuk menyertai HDR dan kini awak memberikan lebih banyak inspirasi kepada saya untuk menjadi sehebat awak.
"Tahniah, Mierul Aiman," ujarnya.