Sekilas
- Peguam syarie Adira Suhaimi, Nor Saidah Zakaria, menafikan dakwaan lafaz rujuk dengan bekas suami, Datuk Seri Adnan, berlaku pada Mei 2024.
- Adira tidak mengetahui tentang lafaz rujuk yang didakwa dibuat secara lisan tanpa pengetahuannya.
- Mahkamah Syariah Gombak Barat menetapkan 16 Februari sebagai tarikh perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk secara tertutup.
Peguam syarie yang mewakili penyanyi, Adira Suhaimi iaitu Nor Saidah Zakaria menolak dakwaan berlaku pengesahan lafaz rujuk dengan bekas suami, Datuk Seri Adnan pada Mei tahun lepas.
Sebaliknya, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi menegaskan perkara tersebut tidak pernah berlaku seperti didakwa.
Katanya, dakwaan rujuk itu berlaku tanpa pengetahun Adira dan kononnya dibuat secara lisan.
“Kalau ikutkan hari ini adalah sebutan kali pertama kes ini. Pihak Adira menerima saman pengesahan lafaz rujuk pada 18 Disember 2025.
“Hari ini kami hadir bagi memasukkan wakalah peguam dan pembelaan. Adira menafikan dakwaan rujuk tersebut.
“Dakwaan menyatakan lafaz rujuk berlaku pada Mei 2024, namun berdasarkan pengetahuan Adira, tiada rujuk berlaku,” katanya kepada Gempak.
Saidah berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Syariah Daerah Gombak Barat, Sungai Buloh, Selangor pada pagi Selasa.
Dalam perkembangan lain, Saidah turut memaklumkan pihaknya menerima notis daripada peguam Adnan yang meminta ahli keluarga Adira menurunkan sebarang hantaran berkaitan rumah tangga mereka di media sosial.
“Hari ini juga kami menerima notis daripada peguam pihak Adnan yang meminta keluarga Adira menurunkan sebarang hantaran berkaitan beliau di media sosial,” ujarnya.
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini menetapkan 16 Februari depan sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk pasangan berkenaan.
Peguamnya Nor Haiza Marina Mat Ramli memakumkan perbicaraan berkenaan akan dilakukan secara tertutup dan dihadiri plaintif serta defendan.
Sebelum ini, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red menerusi peguamnya memaklumkan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap Adira pada Disember tahun lalu.
Adira turut memberi reaksi terkejut kerana tidak mengetahui tindakan yang diambil oleh bekas suaminya itu.
Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua, namun perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.