Sekilas
- Dini Schatzmann lebih terkesan apabila isterinya, Janna Nick, menjadi mangsa body shaming di media sosial walaupun dirinya seorang yang tenang dan tidak mudah terasa hati.
- Dini memilih untuk berdiam diri dan tidak melayan komen negatif kerana ia tidak memberi manfaat dan mereka yang mengkritik tidak tahu apa yang mereka lalui.
- Dini sentiasa menjadi sokongan kepada Janna dan tidak pernah memberi tekanan untuk menurunkan berat badan kerana memahami usaha isterinya mendapatkan zuriat.
Pelakon Dini Schatzmann mengakui dia lebih terkesan apabila isterinya, pelakon dan pengacara Janna Nick, menjadi sasaran kecaman melibatkan ‘body shaming’ di media sosial.
Biarpun dirinya seorang yang tenang dan tidak mudah mengambil hati terhadap kritikan orang ramai, namun Dini berkata keadaan itu berbeza apabila ia membabitkan Janna.
"Saya seorang yang susah nak terasa hati kerana saya seorang yang sangat tenang. Tetapi saya juga manusia biasa. Jadi, apabila ada komen-komen yang menyentuh fizikal Janna, saya yang terlebih terkesan.
"Bagilah orang cakap apa sahaja pasal saya, saya okey sahaja. Tetapi apabila orang cakap pasal Janna, saya akan lebih terasa untuk dia," katanya kepada Gempak.
Mengulas tindakannya yang lebih banyak berdiam diri berbanding membalas kecaman terhadap isteri, Dini berkata, dia tidak melihat sebarang manfaat untuk berinteraksi dengan individu yang gemar meninggalkan komen negatif.
"Bagi saya, tidak guna pun untuk tegur mereka kerana jika kita tegur lima orang, akan ada lagi 50 orang yang akan buat perkara sama. Jadi, buat apa nak bazirkan tenaga dan masa untuk satu atau dua komen negatif.
"Lagipun, mereka tiada kaitan dengan kehidupan kami dan tidak tahu apa yang Janna serta saya sedang lalui. Jadi, bagi saya, komen mereka tidak penting, terutama jika membabitkan body shaming dan komen-komen yang sangat negatif," katanya.
Dini bagaimanapun tidak menafikan isterinya turut terkesan dengan kecaman sedemikian, terutama ketika melalui hari yang kurang baik atau emosinya lebih sensitif.
Malah, dia memahami komen negatif yang menyentuh penampilan fizikal isterinya boleh mengundang kesedihan, sekali gus menjejaskan emosi Janna.
"Sudah tentu Janna akan melalui perkara itu. Sebagai manusia, apabila orang bercakap perkara negatif mengenai kita, sudah tentu kita akan terasa dan sedih.
"Ada juga ketikanya kita lebih sensitif, terutama sewaktu sedang melalui hari yang buruk. Jadi, apabila ditambah dengan komen sebegitu, sudah tentu dia sedih.
"Saya cuba untuk sentiasa mengingatkan dia mengenai gambaran lebih besar. Kadang-kadang kita terlalu fokus kepada satu komen. Jadi, saya sentiasa ingatkan Janna supaya melihat keseluruhan kehidupan kami dan apa yang sedang cuba kami capai sekarang," katanya.
Dini berkata, dia akan terus menjadi sistem sokongan buat Janna dengan mengingatkan isterinya individu yang meninggalkan komen berkenaan tidak mengetahui keseluruhan perjalanan hidup mereka.
Dalam pada itu, Dini menegaskan tidak pernah memberi tekanan kepada Janna untuk menurunkan berat badan kerana memahami keadaan isterinya yang sedang berikhtiar mendapatkan zuriat.
"Saya tidak pernah menekan dia untuk kuruskan badan. Seperti Janna cakap, saya orang yang tahu apa yang dia sedang lalui dan lakukan sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat.
"Saya tahu keadaannya dan tidak logik untuk dia menjadi terlalu kurus sekarang. Ini bukan masanya untuk dia berbuat demikian. Selagi dia gembira, sihat dan kami menuju ke arah itu, sudah memadai," katanya.