Sekilas
- Haiza Hanafi jarang menggunakan mikrofon sendiri ketika membuat persembahan kerana pernah menerima komen negatif yang menjejaskan keyakinannya.
- Penyanyi Ara Johari dan Wany Hasrita tampil memberi sokongan dan menegaskan penggunaan mikrofon sendiri membantu unjuran suara, bukan untuk menunjuk-nunjuk.
- Netizen juga memberikan sokongan moral kepada Haiza agar tidak terlalu mengambil hati kata-kata negatif daripada orang lain.
Penyanyi, Haiza Hanafi mengakui jarang menggunakan set mikrofon sendiri ketika membuat persembahan disebabkan pengalaman kurang menyenangkan yang pernah dilaluinya.
Menurut Haiza, dia pernah menerima komen negatif mengenai kualiti suaranya ketika menggunakan mikrofon sendiri membuatkan dia berasa rendah diri sehingga mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja peralatan tersebut.
" Saya ada set mic sendiri tapi jarang bawa untuk mana-mana show sebab ada pengalaman yang buat kita down.
"Pastu ada orang cakap kalau suara tak sedap, bila pakai mic sendiri lebih clear tak sedapnya suara kita. Suara kita tak sedap, itu yang takut tu. Simpan sajalah dalam kotak," tulisnya.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mendapat perhatian penyanyi, Ara Johari yang tampil memberikan kata-kata semangat kepada Haiza.
Menurut Ara, penggunaan mikrofon sendiri bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya membantu seseorang penyanyi mendapatkan unjuran suara yang lebih baik ketika membuat persembahan.
"Tak baik tau orang yang cakap macam tu. Guna mic sendiri bukan untuk menunjuk tau. Tapi bantu kita punya projection suara tau.
"And benda tu one of our biggest achievements jugak tauuu. Babappp siapa yang cakap macam tuuu! Ishhhhhh! Akak! Keluarkan mic saktimu!!! Kita mendoniaaaaaa," tulis Ara.
Malah pelantun lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita turut memberikan kata-kata semangat buat Haiza.
"Siapa kacauuuuu kakak kitaaa ni!! Pakai je kakkk!!!," komennya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memberikan sokongan kepada Haiza dan meminta penyanyi itu supaya tidak terlalu memikirkan kata-kata negatif daripada orang lain.