Sekilas
- Amyza Aznan mengenang anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail, sebagai seorang anak yang lemah lembut dan sangat penyayang tanpa pernah meninggikan suara atau bergaduh dengan adik-beradiknya.
- Walaupun dalam keadaan nazak akibat kanser paru-paru, Andre tetap menunjukkan sikap hormat dengan cuba bangun apabila dipanggil atau menerima tetamu.
- Andre meninggal dunia pada bulan Ramadan dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang, meninggalkan kenangan serta kebaikan untuk keluarga dan rakan-rakan.
Pelakon, Amyza Aznan menyifatkan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail sebagai seorang anak yang baik.
Ujar Amyza, sifatnya yang lemah lembut dan tidak pernah meninggikan suara antara perkara yang paling akan diingatinya.
Malah, Amyza turut memuji arwah Andre yang tidak pernah melawan atau bergaduh dengan sesiapa termasuk adik-beradiknya.
“Tak ada ibu yang tak puji anak kan? Tapi saya puji dia sebab memang dia begitu. Dia tak pernah ‘hei’, tak pernah melawan.
“Antara dia dengan adik dia pun tak pernah bergaduh, tak pernah berkasar, tak pernah naik suara. Tiga beradik ini memang sangat penyayang dari kecil sampai besar,” katanya kepada Gempak.
Amyza berkongsi perkara tersebut usai majlis pengebumian Andre di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada Selasa.
Bukan itu sahaja, Amyza memaklumkan Andre tetap utuh mengamalkan sikap menghormati walaupun ketika dalam keadaan nazak.
“Perangai dia, walaupun waktu dia dah nazak, keadaan dia memang dah lemah sangat.
“Tapi bila orang panggil dia, Andre, ada tetamu datang ni, dia akan cuba naikkan kepala sebab tetap nak hormat orang. Itulah Andre Mikhail,” ujarnya.
Bercakap mengenai pemergian Andre, Amyza merasakan pemergiannya pada bulan Ramadan yang mulia sedikit sebanyak memberi ketenangan buat dirinya.
“Macam-macam yang bermain di fikiran. Dia pergi pada bulan yang baik. Dia juga tinggalkan banyak perkara baik untuk saya, untuk adik-adik dia, untuk kawan-kawan dan keluarga.
“Banyak kebaikan yang kami tumpang daripada dia.
Senang cerita, dia tinggalkan kenangan dan perkara-perkara yang baik untuk kami,” katanya.
Sekadar info, Andre menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.15 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru.
Jenazah Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada jam 10.40 pagi Selasa.
Februari tahun lalu, Amyza berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Selang setahun, anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan kanser tulang dan perkhabaran duka itu dikongsi aktres itu di platform media sosialnya sehingga mengejutkan ramai.