Sekilas
- Seniman Datuk Eman Manan menerima gelaran Datuk daripada Sultan Terengganu sebagai penghargaan atas sumbangan seni lebih 40 tahun.
- Eman menekankan pentingnya pendidikan lakonan yang melibatkan pelbagai bidang ilmu untuk melahirkan pelakon berilmu dan berkualiti.
- Beliau akan membintangi filem aksi Takluk 2: Op Daulat yang akan ditayangkan di pawagam mulai 26 November 2024.
Seniman Datuk Eman Manan menyifatkan gelaran Datuk yang diterimanya daripada Sultan Terengganu sebagai penghargaan atas sumbangannya kepada bidang seni sepanjang lebih empat dekad.
Eman berkata demikian ketika mengulas buat kali pertama mengenai gelaran itu selepas ditanya sama ada pengiktirafan tersebut mengubah pertimbangannya dalam menerima tawaran lakonan.
“Ini kali pertama saya menyahut rayuan wartawan untuk bercakap tentang saya bergelar Datuk. Dan saya tak pernah buat sebelum ini.
“Ia satu pengiktirafan kerajaan negeri, Ke Bawah Duli Tuanku Baginda Sultan kepada saya, alhamdulillah.
“Kerana bukan yang akan datang, tapi kerana perkara yang dah lepas-lepas. Faham? Kerana jasa yang lepas-lepas. Jadi oleh kerana yang lepas-lepas itu, biarlah ia begitu saja,” katanya.
Eman menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu pada 6 September lalu.
Ditanya mengenai tanggungjawabnya untuk terus menyumbang kepada industri, Eman berkata dia melihat semakin banyak institusi pengajian dan kolej menawarkan pendidikan lakonan kepada generasi muda.
“Saya baru saja bersembang dengan Reza Rahadian. Salah satu perkara dia tanya saya, bagaimana perkembangan industri filem di sini dan perkembangan pendatang baharu di sini.
“Saya kata di sini sekarang banyak institusi pengajian dan kolej yang mengajar tentang lakonan, di mana anak muda sudah melihat bahawa lakonan adalah satu ilmu yang harus dipelajari,” ujarnya.
Menurut Eman, persediaan menjadi pelakon turut melibatkan penguasaan pelbagai bidang seperti bahasa, sejarah, geografi dan anatomi.
“Apabila generasi berilmu ini dididik secara khusus, saya rasa mereka lebih yakin, memilih dengan tepat dan menghasilkan karya yang bagus. Tugas industri bukan hanya memberi hiburan sahaja, tetapi memperkenalkan bangsa dan negara kita,” katanya.
Dalam perkembangan kerjaya, Eman turut membintangi Takluk 2: Op Daulat, kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu (2024).
Filem aksi yang diinspirasikan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 itu dijadualkan menemui penonton di pawagam mulai 26 November ini.