Sekilas
- Pelakon Ieda Moin kecewa dengan bayaran yang diterima sekarang jauh lebih rendah berbanding zaman dahulu walaupun mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam industri seni.
- Ieda menegur sikap produksi yang membayar pelakon baru dengan kadar tinggi tetapi menawarkan bayaran rendah kepada pelakon lama, menyebabkan harga pasaran artis terjejas.
- Beliau juga menyatakan isu 'double standard' dalam industri, di mana pelakon lama tidak mendapat kemudahan seperti tuntutan minyak dan tol, berbeza dengan dahulu.
Pelakon, Ieda Moin meluahkan rasa terkilan selepas menerima bayaran yang tidak setimpal dengan pengalaman hampir tiga dekad di dalam industri seni.
Menurut Ieda, bayaran yang diberikan sekarang jauh lebih murah berbanding bayaran yang diterimanya pada zaman dahulu.
Bukan sahaja tidak berpatutan, malah Ieda menyifatkan tindakan tersebut membunuh harga pasaran seseorang artis.
"Sakit hati saya. Saya rasa macam nak kembali pada tahun 2006, dulu lagi meriah (bayaran mahal) sekarang nak dapatkan harga yang sepatutnya susah.
"Pihak produksi pernah panggil saya berlakon untuk satu episod sejam dengan tawaran harga RM500.
"Saya tanya pengurus produksi itu, dah berapa lama dia bekerja dengan industri ini dan berapa lama awak tahu saya berada dalam industri ini.
"Saya bukan nak berlagak tapi saya memang ada harga sendiri (rate card). Ada artis yang sanggup ambil harga rendah itu dan membunuh harga pasaran,"katanya kepada Gempak.
Ieda berkata demikian ketika sidang media Ate Kome, I Love You! di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Ieda turut meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak produksi yang sanggup membayar kadar tinggi kepada pelakon baharu tetapi sebaliknya pada pelakon lama.
"Memang rezeki orang, kita tidak mempertikaikan dan cemburu.
"Tetapi bagi mereka yang sudah bekerja dengan kita dan sudah tahu pencapaian, mereka tahu macam mana nak hargai kita. Berapa yang mereka bayar itulah cara mereka menghargai.
"Bila ditawarkan dengan harga sedemikian, seolah-olah seperti kita berada di bawah tapak kaki mereka.
"Contoh, artis baharu mereka boleh tawarkan dengan harga RM4,000 hingga RM5,000 untuk satu episod, saya nak dapat RM2,000 pun susah,"ujarnya.
Mengulas lanjut, Ieda berkata perkara tersebut bukan terjadi kerana sesebuah produksi kekurangan bajet, sebaliknya berlaku unsur 'double standard' dalam kalangan artis.
"Bagi saya produksi bukan tiada bajet, tapi double standard. Kalau dahulu, mereka sediakan pakaian untuk pelakon.
"Zaman sekarang saya faham, tak mudah nak dapatkan tajaan.
"Kalau produksi membantu tidak mengapa, ini pula dah lah menentukan apa yang kena dipakai tiada tajaan dan lagi nak potong bayaran pelakon.
"Dulu boleh tuntut duit minyak dan tol, sekarang tidak boleh. Bukan nak berkira, tapi kita mahu bekerja dalam suasana yang gembira,"kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Ieda muncul dalam siri terbaharu Viu berjudul Ate Kome I Love You! yang disiarkan pada setiap Khami dan Jumaat pada jam 12 tengah hari.
Selain Ieda, turut membintangi drama tersebut ialah Amy Mastura, Bella Dowanna, Aniq Suhair dan Nurel Baharin.