Sekilas
- Wafiy A’an menafikan lagu duetnya dengan Ellya Keesha, Hanya Sehari, sebagai simbolik hubungan percintaan mereka atau persiapan perkahwinan.
- Mereka menjelaskan elemen praperkahwinan dalam promosi lagu itu hanyalah strategi pemasaran semata-mata.
- Wafiy dan Ellya kini fokus pada kerjaya masing-masing dan menganggap mereka sebagai rakan baik dalam industri dan bisnes.
Penyanyi dan pelakon, Wafiy A’an menafikan lagu duetnya bersama Ellya Keesha berjudul Hanya Sehari merupakan simbolik hubungan mereka yang dikatakan bakal menuju ke jenjang pelamin.
Sebaliknya, Wafiy menjelaskan segala perkongsian yang memperlihatkan seolah-olah seperti persiapan perkahwinan hanyalah sebahagian daripada strategi promosi bagi pelancaran lagu berkenaan.
"Kami selesa bekerjasama sebagai kawan dalam industri dan kawan dalam bisnes. Kami tidak boleh nak paksa soal jodoh. Kami mahu fokus kepada kerjaya masing-masing dan memperbaiki apa yang boleh diperbaiki dalam bidang kami.
"Segala yang mereka nampak seperti praperkahwinan itu semua hanya untuk pelancaran lagu Hanya Sehari," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Wafiy tidak berani memberikan sebarang bayangan mengenai masa depan hubungan mereka kerana kini sibuk membina kerjaya seni masing-masing.
"Kami tidak mahu mengiyakan atau menidakkan. Sekarang kami fokus kepada kehidupan masing-masing, tetapi kami memang berkawan baik. Sebab itu banyak kerjasama yang kami lakukan. Dia juga seorang yang baik dan selesa untuk bekerjasama. Banyak yang saya belajar daripada dia dan saya suka orang yang boleh memberikan komitmen sepenuhnya.
"Jadi, untuk bercakap mengenai fasa seterusnya, saya tak berani nak cakap. Hati masing-masing kita tak tahu apa yang dia rasa. Saya tak tahu dan dia pun tak tahu apa yang saya rasa.Takkan saya nak bercakap mengenai perasaan saya di sini? Jadi, doakan yang terbaik untuk saya dan juga Ellya," ujarnya.
Sementara itu, Ellya turut menjelaskan lagu Hanya Sehari sememangnya berkisarkan kisah percintaan dan elemen tersebut menjadi mesej utama yang ingin disampaikan menerusi projek muzik berkenaan.
"Hanya Sehari ini berkisarkan kisah cinta, jadi itu yang kami nak sampaikan untuk projek ini," tambahnya.