Sekilas
- Nam Ron berkongsi kisah kelahiran dan kehidupan ibunya pada penghujung 1960-an sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-57.
- Ibunya membuat keputusan untuk tidak menambah anak selepas anak keempat sebagai langkah mengikuti kempen perancangan keluarga kerajaan ketika itu.
- Walaupun ibunya mengambil pil perancang dan minuman tonik, Nam Ron tetap dilahirkan lima tahun selepas kakaknya atas kehendak Allah SWT.
Sempena ulang tahun kelahiran yang ke 57 tahun, pelakon Nam Ron berkongsi kisah di sebalik kelahirannya serta kehidupan ibunya sekitar penghujung 1960-an.
Menerusi hantaran di Threads, Nam Ron mendedahkan ibunya pernah membuat keputusan untuk tidak menambah cahaya mata selepas melahirkan anak keempat, iaitu kakaknya.
Menurut Nam Ron, keputusan itu dibuat ketika kerajaan sedang menggalakkan masyarakat khususnya penduduk di kampung untuk merancang keluarga bagi meningkatkan taraf kehidupan.
“Emak saya pernah beritahu, selepas melahirkan anak ke empat iaitu kakak saya, emak dah buat keputusan, itu adalah anak terakhir dalam keluarga.
“Lewat tahun 60an kerajaan ketika itu menggalakkan penduduk khususnya di kampung untuk merancang keluarga.
“Kerajaan mahu menaik taraf kehidupan orang kampung yang hidup dalam kemiskinan tegar. Emak saya antara yang mengikut langkah kerajaan ketika itu.
“Dia mengambil pil perancang yang di beri secara percuma oleh kementerian kesihatan,” kongsi Nam Ron.
Tambahnya, ibunya turut mengambil minuman tonik bagi mendapatkan tenaga untuk bekerja keras meneroka tanah yang diberikan kerajaan.
Bagaimanapun, menurut Nam Ron, dia tetap dilahirkan lima tahun selepas kakaknya atas ketentuan Allah SWT.
“Selain itu emak juga minum air tonik chap gajah untuk beri tenaga untuk membanting tulang meneroka tanah yang diberi kerajaan.
“Namun atas kehendak Allah swt emak saya tetap mengandungkan saya. Dan, saya dilahirkan ke dunia pada 21 November 1969. Lima tahun selepas kakak saya lahir.
“Walaupun hanya minum susu pekat manis yang dicairkan ketika bayi. Saya membesar dan menjadi orang atas izinNya jua. Alhamdulillah,” ujarnya.
Sumber - Threads