Usahawan terkenal, Nur Sajat meluahkan rasa syukur kerana telah selesai menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya di tanah suci Makkah.

Perkara itu dikongsi menerusi entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.

Menurut Sajat, dia berasa sungguh terharu dan menyedari keindahan agama Islam.

"Syukur Alhamdulillah, dengan berkat keizinan rombongan kami sekeluarga ke tanah suci Makkah dan Madinah, selesai sudah umrah kami sekeluarga di Makkah.

"Saya sungguh terharu dan terasa diri kecil sangat bila saya menjejak kaki di sini, kerana betapa indahnya Islam, saya melihat kebesaran Allah SWT kerana tidak pernah membezakan hamba dari segi darjat, umur, wajah, jantina, kedudukan, warna kulit atau perbezaan mazhab.

"Ternyata bila kita di sini, kita semuanya sama, menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah," tulisnya sebagai kapsyen.



Dalam pada itu, Sajat turut mengenang nasibnya yang dikatakan sering menerima kritikan di negara sendiri.

"Walaupun saya di Malaysia selalu dikutuk, dihina, dicaci malah pelbagai tomahan diberikan kepada saya, saya hanya berdiam diri, saya musafirkan diri, mungkin apa yang berlaku pada diri saya, saya anggap sudah tertulis menjadi insan bernama Nursajat," tambahnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Sajat meninggalkan respon berbeza.

Ada yang mempertikaikan kesahihan kunjungannya ke tanah suci itu, namun ramai juga yang beranggapan positif dan memberi kata-kata semangat kepada usahawan itu.

Terdahulu, Sajat sering dikaitkan dengan kontroversi yang membabitkan jantina sebenarnya.

Namun begitu, Sajat tetap dengan pendiriannya mengatakan dia adalah seorang wanita.