Penyanyi Sissy Imann mengakui berasa terkejut apabila menerima tawaran untuk menjadi juri bagi program realiti nyanyian, Suara Viral buat pertama kali.

Ini kerana, menurut Sissy, dia merasakan dirinya masih tidak mempunyai banyak lagi pengalaman berbanding rakan juri yang lain.

"Saya masa mula-mula dijemput jadi juri virtual terkejut juga. Maklumlah saya ini masih baharu. Masih BBNU (Budak Baru Nak Up,)..saya belum banyak pengalaman lagi. Bahkan, saya tidak melalui banyak cabaran lagi seperti orang lain.

"Tapi saya fikirkan inilah waktunya untuk saya berkongsi masa dan peluang bersama-sama mereka. Lagipun, saya rasa program ini sangat rapat dengan saya, kerana saya pun dulu memuat naik video nyanyian, kemudian mendapat perhatian.

"Saya pun pernah melalui proses yang lebih kurang sama dengan mereka (peserta), dan saya harap untuk belajar bersama-sama menerusi program ini," katanya.

Begitupun, untuk rekod, Sissy merupakan penyanyi yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Muzik) kelas pertama dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur

Sissy akan bersama tujuh lagi juri virtual lain yang akan mengadili peserta iaitu penyanyi Idayu, Bob Yusof, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain dan Ngektsai (influencer), serta pengamal media, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir.

Suara Viral turut menampilkan Misha Omar dan Akim Ahmad selaku juri tetap.

Suara Viral coming soon! ? . Ada @mishaomar & @akimahmad sebagai juri tetap. . #suaraviral #suaraviral2020 #mishaomar #mishaomarfans #akimahmad #astroprimah

A post shared by OFFICIALSUARAVIRAL2020 (@official_suaraviral2020) on




Dihoskan oleh Datuk AC Mizal, program realiti terbaharu itu mengetengahkan bakat 10 peserta yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kerjaya tersendiri, antaranya polis, tentera dan jurutera.

BACA: Polis, Tentera, Abang Rider Antara 10 Peserta Suara Viral, Wajib Layan, Memang Padu!

Suara Viral yang dibawakan oleh Nivea selaku penaja utama itu bakal bersiaran menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) bermula 17 Jun ini pada setiap Rabu pukul 9 malam.

Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan persiapan para peserta menerusi 'Jom Intai Suara Viral' yang akan ditayangkan pada Isnin dan Selasa pukul 6.55 petang bermula 15 Jun ini.

Penonton juga serta boleh menyaksikan program tersebut secara strim menerusi aplikasi Astro GO.