Lelaki warganegara Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam, akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya di Setapak, Kuala Lumpur, 5.45 petang, semalam.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada risikan dan buruan berterusan selama dua minggu.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai-pegawai terbabit atas usaha dan komitmen mereka.

"Lelaki Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Md Rayhan dikatakan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini, JIM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia's Lockdown dengan Md Rayhan dilihat mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.

Sumber: Harian Metro