Anak pelakon dan juga seorang selebriti Instafamous didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini (28 September) atas kesalahan memiliki produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk jualan.

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu selepas orang kena saman (OKS), Rose Azlin Rosli, 46, yang juga anak pelakon veteran mengaku bersalah.

Rose Azlin yang juga merupakan pemilik jenama KM Beauty House selaku OKS tidak diwakili peguam dan membayar denda berkenaan.

Anak pelakon itu dalam hujahannya meminta hukuman dikurangkan kerana kejadian berlaku ketika tempoh mendapatkan kelulusan KKM.

Namun Pegawai Pendakwa Mohd Helmi Azman daripada KKM meminta OKS dijatuhi hukuman setimpal.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa memiliki 99 paket produk KM Sampah Cleanse.

Kesalahan itu dilakukan 21 Januari lalu pada 11.20 pagi di premis di Subang Jaya.

OKS dituduh melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 melakukan kesalahan mengikut Peraturan 30(1), peraturan yang sama.

Mengikut seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber / Kredit Foto: Harian Metro