Skip to main content

Artis, Bekas Pengarah Kebudayaan Dipenjara 6 Bulan

artis_budaya

Sekilas

  • Bekas Pengarah JKKN Pahang dan seorang artis kebudayaan dipenjara enam bulan serta didenda RM10,000 kerana memalsukan dokumen bayaran perkhidmatan tidak wujud lima tahun lalu.
  • Mereka didakwa memalsukan dokumen arahan pembayaran berjumlah RM9,920 untuk aksesori set kepala pelanduk yang tidak pernah disediakan.
  • Hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM12,000.

Bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang serta seorang artis kebudayaan dipenjara enam bulan dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, kerana memalsukan dokumen bayaran kepada perkhidmatan bekalan tidak wujud lima tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie turut memerintahkan Dayang Kartini Awang Bujang, 49, dan penggiat seni budaya Mardziana Che Mohd Amin, 39, menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.

Mereka didakwa dengan niat bersama memalsukan dokumen arahan pembayaran perkhidmatan menyediakan aksesori set kepala pelanduk untuk kumpulan kesenian jabatan berkenaan berjumlah RM9,920.

Bagaimanapun perkhidmatan itu tidak dilaksanakan syarikat terbabit dan tertuduh memalsukan dokumen itu untuk niat menipu.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat JKKN Pahang, di sini, pada 26 Jun 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Manakala Dayang Kartini diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli dan Mardziana diwakili peguam Taufek Razak.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 20 Jan 2022 dan sepanjang tempoh perbicaraan 16 saksi dipanggil memberi keterangan.

Sazlina membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM12,000 daripada RM10,000 sebelum ini. - HARIAN METRO

Must-Watch Video

Advertisement