Skip to main content

Antarabangsa

Sungai Furat Semakin Lenyap

Astrogempak SG FURAT

Sekilas

  • Sungai Furat, salah satu sungai tertua dalam sejarah tamadun manusia, kini menghadapi risiko lenyap akibat perubahan iklim dan aktiviti manusia.
  • Perjanjian kecemasan antara Iraq dan Turkiye pada November 2025 diadakan untuk memastikan kelangsungan aliran sungai yang semakin berkurangan akibat empangan dan kemarau berpanjangan.
  • Data satelit NASA menunjukkan kehilangan air tawar yang besar sejak 2003, dengan kadar penurunan air bawah tanah kedua terpantas di dunia selepas India, mengancam masa depan sungai tersebut.

Salah satu sungai tertua dan paling bersejarah dalam tamadun manusia kini sedang lenyap secara perlahan-lahan. Sungai Furat yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kelahiran tamadun Mesopotamia kian menghilang dari pandangan sejarah dan realiti.

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila Iraq dan Turkiye terpaksa menandatangani perjanjian diplomatik kecemasan pada November 2025 hanya untuk memastikan sungai tersebut terus hidup.

Satelit NASA GRACE (Gravity Recovery and Climate Experiment), sepasang satelit yang mengukur perubahan graviti bumi bagi mengesan jumlah air di sesuatu kawasan telah merekodkan krisis itu secara senyap dari orbit selama lebih dua dekad.

Antara tahun 2003 hingga 2010, satelit itu mencatat kehilangan kira-kira 144 kilometer padu air tawar dari lembangan Sungai Tigris dan Furat secara keseluruhan.

Bacaan itu menandakan kadar kehabisan air bawah tanah kedua terpantas di dunia selepas India. Sebagai gambaran, jumlah itu hampir menyamai keseluruhan isi padu Laut Mati.

Keadaan itu dipercayai berlaku disebabkan pelbagai tekanan dan ancaman berkaitan fenomena perubahan iklim termasuk kemarau berpanjangan di rantau tersebut.

Suhu di timur laut Damsyik meningkat sekitar satu darjah Celsius berbanding satu abad lalu manakala purata hujan menurun sebanyak 18 milimeter sebulan setiap abad.

Apabila suhu meningkat, kadar penyejatan air juga bertambah hingga menyebabkan kekurangan air hujan untuk mengisi semula sungai.

Di hulu sungai, Ankara telah membina rangkaian empangan besar yang mengurangkan aliran semula jadi Sungai Furat ke Syria dan Iraq.

Aliran tahunan semula jadi Furat di sempadan Turkiye-Syria yang dianggarkan kira-kira 30 bilion meter padu antara 1930 hingga 1973 telah menurun kepada kira-kira 25 bilion meter padu selepas pembinaan empangan besar antara 1974 hingga 2010.

Air juga turut dijadikan alat politik. Pada 2021, Damsyik menuduh Ankara sengaja menyekat aliran sungai di sempadan hingga menjejaskan Furat.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Air Iraq turut memberi amaran bahawa sungai itu boleh kering sepenuhnya menjelang 2040 satu perkembangan yang turut dikaitkan oleh segelintir pihak dengan teori akhir zaman.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

Must Watch Video

Advertisement