Sekilas
- Bad Cop adalah siri premium adaptasi dari siri jenayah Jerman 2017 yang menampilkan jalan cerita besar dengan format case-of-the-week yang jarang diterokai dalam industri televisyen Malaysia.
- Siri ini menampilkan Aiman Hakim dalam dua watak berbeza dan mengangkat isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga.
- Kerjasama dengan Freemantle Media membantu pasukan produksi menyesuaikan diri dengan standard penceritaan antarabangsa, menjadikan Bad Cop karya tempatan yang lebih matang dan kompetitif.
Siri premium, Bad Cop menampilkan jalan cerita yang menarik dan membuatkan penonton tidak sabar untuk menonton setiap episod.
Menurut Penerbit Eksekutif Bad Cop merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Bad Cop mempunyai jalan cerita yang besar dan konsep yang digunakan juga jarang diterokai dalam industri televisyen Malaysia.
“Di Astro Shaw, macam yang diberitahu sebelum ini, kita sentiasa berusaha memperkenalkan genre baharu serta menolak batas kebiasaan bagi mengangkat mutu penceritaan.
“Walaupun kita memiliki kepakaran dan kemahiran tersendiri, masih terdapat aspek yang perlu diperbaiki dan dipelajari agar kandungan tempatan terus relevan dan kompetitif.
“Dalam hal ini, format Bad Cop hadir sebagai satu pendekatan yang berbeza. Tidak seperti cerita biasa yang bersifat linear, Bad Cop menampilkan struktur naratif yang lebih luas.
“Ia mempunyai jalan cerita utama yang besar, namun setiap episod turut membawa kes baharu yang memberi nilai tambah kepada penceritaan keseluruhan.
“Konsep seperti ini jarang diterokai dalam industri televisyen Malaysia, menjadikan Bad Cop sebagai platform pembelajaran yang sangat bermakna,” kongsinya.
Dalam pada itu, Jastina turut meluahkan rasa syukur atas kerjasama dengan Freemantle Media dari segi perkongsian matlumat, perbincangan dan kajian terperinci untuk drama siri tersebut.
“Melalui format ini, pasukan produksi dapat mempelajari cara menyesuaikan diri dengan standard penceritaan antarabangsa. Proses adaptasi ini bukan sekadar mencipta karya, tetapi turut memberi peluang untuk memahami teknik, struktur dan gaya penceritaan global yang boleh diaplikasikan pada projek masa hadapan.
“Dalam perjalanan pembangunan konsep ini, Freemantle memainkan peranan penting. Beliau bukan sahaja memperkenalkan pelbagai bentuk penceritaan dan format baharu, tetapi turut memastikan wujudnya komunikasi berterusan dengan pasukan produksi.
“Kerjasama ini bukan hanya berdasarkan katalog atau teori semata-mata, sebaliknya disokong dengan perkongsian maklumat, perbincangan mendalam serta kajian terperinci yang dijalankan.
“Hasil penyelidikan inilah yang akhirnya membawa Bad Cop ke Malaysia, seterusnya membuka laluan kepada evolusi karya tempatan yang lebih segar, matang dan kompetitif di pentas antarabangsa,” katanya.
Astro Originals mempersembahkan siri premium terbaru, Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman 2017 yang juga diadaptasi di India pada 2024.
Siri ini menampilkan Aiman Hakim yang membawa dua watak berbeza serta membawakan isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga dalam format case-of-the-week.
Bad Cop mula ditayangkan pada 19 Disember 2025 di platform OnDemand, sooka, Astro Citra dan Astro Ria dengan arahan Jason Chong dan showrunner Kavivarmen Vigneswaran.