HIBURAN
Bangganya Dengan Puan Sri Tiara Jacquelina, Ola Bola The Musical Siap Bawa Ultras Malaya!
Penyokong tegar pasukan Harimau Malaya, Ultras Malaya bakal membuat kemunculan sulung menerusi pementasan teater Ola Bola The Musical tidak lama lagi.
Menurut penerbit dan pengarah muzikal itu, Puan Sri Tiara Jacquelina akui berbesar hati dapat membawa Ultras Malaya yang sinonim dengan jolokan ekor harimau itu sebagai tanda penghargaan dan usaha menyemarakkan lagi pementasan tersebut.
“Keistimewaan Ola Bola kali ini adalah kami akan menjelajah keempat negeri untuk menyambut bulan kemerdekaan
“Tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan kami akan membawakan Ola Bola The Musical versi showcase.
“Buat pertama kalinya pementasan kali ini akan disertai dengan penampilan istimewa oleh Ultras Malaya.
“Ini merupakan impian saya dan rasa sangat berbesar hati dapat membawa Ultras Malaya untuk bersama-sama dengan Ola Bola.
“Dalam masa yang sama saya berasa sangat teruja untuk membawa semangat bola sepak dalam bentuk teater kepada orang ramai.
“Selain itu, untuk lokasi di Kuching, Sarawak pula, buat pertama kalinya Ola Bola akan dipentaskan dalam versi teater penuh di luar Kuala Lumpur dan tiket juga adalah percuma.
“Apa yang saya harapkan adalah agar semua rakyat Malaysia keluar beramai-ramai untuk menyambut hari kemerdekaan dan merasai sendiri semangat negara bersama-sama dengan Ola Bola,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Ola Bola The Musical bakal menemui penonton secara percuma di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Pahang.
Ola Bola Merdeka Tour bakal dipentaskan di:
Pulau Pinang (Majestic Theatre) - 31 Ogos 2019
Kuching Sarawak (Stadium Perpaduan Kuching) - 6 hingga 8 September 2019
Sabah (Kompleks JKKN Sabah) - 16 September 2019
Kuantan, Pahang (Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang) - 21 September 2019
Untuk maklumat lanjut mengenai Ola Bola Merdeka Tour, sila layari laman web www.olabolamusical.com dan sosial media @enfinitimy.
Must-Watch Video