Sekilas
- My Chemical Romance kembali ke Malaysia selepas 19 tahun dengan konsert di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menarik 62,000 peminat.
- Konsert mereka menampilkan persembahan penuh nostalgia dengan lagu-lagu ikonik seperti Welcome To The Black Parade dan Helena, serta elemen teater dari vokalis Gerard Way.
- Malam pertama konsert ini menjadi kenangan manis buat peminat, dengan persembahan malam kedua dijadualkan berlangsung keesokan harinya.
Penantian hampir dua dekad akhirnya terubat apabila kumpulan rock alternatif popular dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR) kembali mengadakan persembahan di Malaysia selepas kali berbuat demikian pada 2007.
Lebih bersejarah, konsert hari pertama My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Hello Universe itu berjaya menghimpunkan seramai 62,000 peminat di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
Dibarisi Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero, MCR bukan sekadar mengadakan persembahan biasa, sebaliknya membawa peminat mengimbau kembali kenangan menerusi lagu-lagu yang pernah menjadi satu nostalgia dalam kehidupan mereka.
Membuka tirai persembahan dengan sketsa bertemakan Phantom, kumpulan itu kemudian memulakan segmen Medication Time / Anthem menerusi lagu The End, Dead!, This Is How I Disappear dan The Sharpest Lives.
Tidak hanya menonjolkan kekuatan vokal dan muzik, vokalis kumpulan, Gerard Way turut menampilkan elemen teater menerusi penampilan dengan mulut dipenuhi dakwat hitam seolah-olah dirasuk ketika menyampaikan lagu ikonik Welcome To The Black Parade.
Lebih mengujakan, seluruh stadium seakan-akan bertukar menjadi koir gergasi apabila kesemua penonton menyanyikan lagu berkenaan beramai-ramai sebelum MCR meneruskan persembahan dengan I Don’t Love You dan House Of Wolves.
Memasuki segmen A Gift, peminat dihidangkan dengan rangkaian lagu seperti Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted dan Famous Last Words sebelum Blood menutup tirai persembahan pertama..
MCR kemudiannya kembali menghangatkan pentas menerusi Give ’Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady Of Sorrows.
Memasuki bahagian kedua, penonton terus dihiburkan dengan lagu SING, AMBULANCE dan Cemetery Drive sebelum MCR mempersembahkan Helena yang pastinya dinanti-nantikan penonton.
Malam pertama konsert berkenaan pastinya menjadi satu kenangan bermakna buat peminat MCR di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas penantian selama 19 tahun untuk menyaksikan kumpulan itu kembali beraksi di pentas tempatan.
MCR dijadualkan kembali menggegarkan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat bagi persembahan malam kedua.